BeritaSukan

Liga Super: KDA FC terikat 3-3 dengan UiTM

ALOR SETAR, 8 Sept — Kedah Darul Aman FC (KDA FC) terpaksa berpuas hati dengan satu mata di laman sendiri selepas mencatat keputusan seri 3-3 dengan UiTM FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, malam ini.

Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-37 menerusi tandukan kemas kapten pasukan Baddrol Bakhtiar yang menerima hantaran lintang Azammuddin Mohd Akil.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak lama apabila UiTM menyamakan jaringan dua minit kemudian menerusi Dennis Buschening yang menyempurnakan sepakan penalti selepas Sean Gan dijatuhkan oleh Renan Alves dalam kotak penalti.

Skuad Hijau Kuning menggandakan serangan namun beberapa percubaan ke gawang lawan berjaya diselamatkan pemain pertahanan UiTM FC hingga tamat babak pertama perlawanan.

Kelekaan barisan pertahanan tuan rumah dihukum seminit selepas separuh masa kedua bermula apabila Kwon Yong-hyun berjaya menyambar bola yang tidak dikawal kemas Alves sebelum menolak mudah menewaskan penjaga gol KDA FC sekali gus meletakkan The Lion Troops di hadapan.

Ariff Ar-Rasyid Ariffin menambah tekanan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak apabila meledak gol ketiga pasukan pelawat pada minit ke-63.

Kedah yang tidak patah semangat, terus melancarkan serangan demi serangan hingga berjaya merapatkan jurang pada minit ke-73 hasil tandukan pemain gantian Muhamad Fikhri Zulkiflee.

Pemain import Tchetche Kipre menjadi penyelamat maruah skuad Hijau Kuning apabila menjaringkan gol pada minit ke-80, sekali gus mengutip satu mata selepas terikat 3-3 hingga tamat perlawanan.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button