info@rakyat.my
Saturday, June 19, 2021
Berita

Bekas Menteri Kewangan Nafi Fitnah Abdul Azeez

43views

GEORGE TOWN, 12 Okt  — Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak bersetuju dengan dakwaan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bahawa kenyataan yang dibuatnya (Lim) dalam satu sidang akhbar pada 28 Feb 2018 hanya merujuk kepada Ahli Parlimen Baling itu.

“Saya ingin menyatakan bahawa sebahagian besar kenyataan itu merujuk kepada pihak lain iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), UMNO serta MCA dan hanya sebahagian kecil daripadanya merujuk kepada plaintif (Abdul Azeez),” kata beliau dalam penyataan saksi yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Rosilah Yop.

Lim, yang memberi keterangan pada pendengaran saman fitnah yang difailkan terhadapnya oleh Abdul Azeez berhubung projek terowong bawah laut, berkata sebelum kenyataan itu dibuat, ahli politik UMNO dan MCA telah melemparkan dakwaan yang berterusan terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang berhubung dakwaan amalan rasuah dalam projek terowong bawah laut.

“Dakwaan mereka disiarkan dalam bentuk Artikel dan telah diakses oleh orang ramai pada masa yang material. Selain itu, SPRM telah menyiasat projek terowong bawah laut Pulau Pinang dan menyerbu beberapa agensi kerajaan di Komtar serta menyoal siasat para pegawai dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang,” katanya.

Lim juga tidak bersetuju bahawa kenyataan yang dibuat pada sidang akhbar itu memfitnah plaintif.

“Saya tidak setuju. Seperti yang disebutkan sebelum ini, sebahagian besar kenyataan itu merujuk kepada pihak lain iaitu SPRM, UMNO, MCA dan bukan plaintif. Selain itu, saya percaya bahawa bahagian kenyataan yang dirujuk adalah tertakluk di bawah pembelaan justifikasi, komen adil dan perlindungan bersyarat,” katanya.

Lim juga berkata kenyataan yang beliau keluarkan pada sidang akhbar itu tidak mendakwa atau menyebut bahawa Abdul Azeez terlibat dalam rasuah.

Abdul Azeez telah memfailkan saman itu pada Mac 2018 yang mendakwa Lim, bekas Menteri Kewangan, telah mengeluarkan kenyataan fitnah semasa sidang akhbar di pejabat Ketuan Menteri pada 28 Feb 2018 dan semasa rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang pada hari sama yang mengaitkan beliau dengan pembayaran sebanyak RM3 juta sebagai yuran perundingan oleh pemaju projek terowong bawah laut.

Beliau mendakwa kenyataan itu telah mendapat liputan yang meluas serta diterbitkan dalam beberapa laman sesawang, laman berita elektronik dan akhbar-akhbar tempatan selain turut disiarkan di beberapa halaman akhbar dan media sosial defendan.

Plaintif mendakwa saman itu dibuat berikutan kenyataan itu telah menyebabkan Abdul Azeez mengalami kerosakan yang amat dahsyat terhadap reputasi dan nama baiknya di samping terpaksa mengalami keaiban, kebencian yang amat sangat serta penghinaan daripada orang awam.

Sehubungan itu, Abdul Azeez memohon ganti rugi am termasuk ganti rugi pampasan, teladan, ganti rugi tambahan, kos tindakan dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah selain turut memohon suatu perintah untuk penerbitan balik kenyataan menyinggung berhubung isu terowong dasar laut itu serta permintaan maaf awam di dalam akhbar dan media elektronik tempatan.

Beliau juga memohon injuksi bagi menghalang defendan daripada terus menerbitkan, membolehkan atau menyebabkan kenyataan-kenyataan menyinggung berkenaan diterbitkan.

Mahkamah menetapkan 11 Dis untuk keputusan.

— BERNAMA

Source link