Berita

Lima Fokus Utama Bangun Semula Ekonomi

107views

KUALA LUMPUR, 5 Mei — Kerajaan akan terus memperjuangkan agenda keterangkuman dan memastikan negara berada di landasan pertumbuhan yang mampan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata memandang ke hadapan, kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada lima fokus utama dalam usaha memulih dan membangunkan semula ekonomi.

“Lima fokus iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, memastikan agenda keterangkuman dan mentransformasi ekonomi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Maya Jaringan Prihatin yang disempurnakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Kewangan juga sudah mula merangka Belanjawan 2022, dan meneliti segala perkara yang akan diberi tumpuan secara holistik.

“Ini bagi memastikan pertumbuhan yang mampan dan inklusif sejajar dengan Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

Sementara itu Tengku Zafrul berkata, Program Jaringan Prihatin bertujuan meringankan beban 8.4 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melalui bantuan berjumlah RM2 bilion.

Beliau berkata bantuan itu antara lain bagi melanggan pelan data bulanan atau mengurangkan kos untuk pembelian peranti mudah alih.

Katanya, iInisitif Jaringan Prihatin adalah sebahagian daripada agenda keterangkuman digital negara serta pelengkap kepada inisiatif lain yang bertujuan untuk mencapai matlamat keterangkuman sosio-ekonomi

Menurutnya, sejak pandemik COVID-19 melanda, dapat disaksikan bagaimana transformasi digital di seluruh dunia sudah dipercepatkan dan meningkatkan peranan teknologi dalam cara bekerja, belajar dan menjalani kehidupan seharian.

“Laporan kaji selidik yang dilaksanakan oleh firma perunding PwC baru-baru ini menunjukkan 77 peratus responden berpendapat bahawa teknologi menyediakan lebih banyak peluang bagi mereka, manakala 92 peratus berkata mereka sudah diberikan peluang oleh majikan untuk meningkatkan kemahiran digital di luar tugasan biasa mereka.

“Walau bagaimanapun, pandemik ini juga memberi tumpuan terhadap isu dan masalah yang sudah lama dihadapi iaitu masih ramai rakyat tidak mempunyai akses internet yang menyeluruh, sama ada dari segi ketersediaan mahupun kemampuan, terutamanya dalam kalangan golongan rentan dan B40.

“Justeru, kerajaan akur bahawa terdapat penambahbaikan yang perlu dilaksanakan bagi menangani masalah jurang digital ini,” katanya.

Source Link