info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Perniagaan

Lima Juta Capaian Melalui Media Sosial

96views

KUALA LUMPUR, 11 Okt — PERBADANAN Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menerusi festival permainan digital dalam talian, Level Up KL 2020 dijangka dapat memanfaatkan pasaran permainan video global yang diunjurkan bernilai AS$159 bilion (RM660.25 bilion) tahun ini.

Asia Pasifik memiliki pasaran terbesar berdasarkan kepada jumlah pendapatan industri ini yang mewakili hampir 50 peratus nilai keseluruhan pasaran permainan.

Ketua Media Interaktif, Kandungan Kreatif Digital MDEC, Mohan Low berkata, acara itu juga bakal mendorong sektor permainan digital serantau ke peringkat global.

Katanya, Level Up KL 2020 turut memberi peluang kepada bakat e-Sukan yang sedang meningkat naik dan berpengalaman serta pemain utama industri permainan keseluruhannya untuk bertemu, berinteraksi dan bersama-sama mencari jalan untuk meningkatkan lagi sektor e-Sukan tempatan.

“Acara edisi keenam yang akan berlangsung pada 10 Oktober hingga 22 November ini dijangka menarik lebih 50,000 pemain, pembangun, pengedar dan pengunjung dari 30 negara.

“Selain itu, ia dijangka meraih lima juta capaian melalui media sosial dan merekodkan 50,000 pengunjung berdaftar untuk acara maya,” katanya pada sidang media maya mengenai Level Up KL 2020 di sini, semalam.

Acara itu dijangka dimulakan dengan penganjuran Game Jam Online Asia Tenggara, platform pertama seumpamanya menampilkan 100 pembangun permainan dari seluruh rantau Asia Tenggara.

Sama seperti sebelumnya, acara hackathon ini akan berlangsung selama 36 jam, di mana peserta akan berentap bagi merebut peluang memenangi hadiah wang tunai RM6,000.

Turut diadakan ialah webinar e-Sukan dan beberapa pertandingan e-Sukan yang memberi peluang kepada pemain yang sedang meningkat naik dan profesional untuk merebut sebahagian daripada hadiah terkumpul bernilai RM120,000.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, acara berkenaan kini menjadi satu daripada persidangan serta pameran pembangun permainan video yang wajib dihadiri.

“Ketika ini, nilai pasaran permainan digital menyaksikan peningkatan luar biasa dalam ekonomi global serta mengatasi jangkaan tahun lalu dan semasa disebabkan oleh penularan pandemik yang memaksa orang ramai menghabiskan lebih banyak masa di rumah.

“Pada 2015, hanya 372 peserta dan tahun lalu, angka itu meningkat empat kali ganda kepada 1,791,” katanya.

“Ia menjadi bukti kukuh industri permainan video di Asia Tenggara sedang berkembang dengan begitu pesat sekali,” katanya.

Source link