Berita

Lindungi Negeri Sembilan – Tok Mat

72views

KUALA LUMPUR, 17 Jun – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan melahirkan kebimbangan beliau dengan jangkitan kes COVID-19 di Negeri Sembilan yang sudah melangkaui angka 1,000 dalam jangka masa 24 jam lepas.

Katanya, tindakan proaktif mesti segera dilakukan kerana kelemahan ketara kerajaan negeri dalam mengendalikan wabak ini akan mengancam keselamatan dan kesejahteraan rakyat.

“Menteri besar yang juga merangkap sebagai pengerusi Majlis Keselamatan Negeri, gunakanlah apa jua kuasa yang ada untuk membendung dan mengatasi wabak ini.

“Manfaatkan semua saluran dan hubungan dengan kerajaan persekutuan. Pohon peruntukan lebih banyak bekalan vaksin dan sediakan lebih banyak pusat vaksinasi di seluruh Negeri Sembilan. Tingkatkan juga saringan kerana ia berkesan mencegah penularan,” katanya menerusi satu hantara di Facebook.

Jelas beliau lagi, kerajaan negeri seharusnya menggunakan segera peruntukan menteri besar sebanyak RM30 juta seperti yang terkandung dalam Bajet 2021 yang telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri untuk tujuan pembelian vaksin yang juga telah diluluskan oleh Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi.

“Masa adalah sangat kritikal, kelewatan tindakan kerajaan negeri jika dibiarkan berterusan, akan melumpuhkan kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan negeri.

“Bertindak Segera. Lindungi Negeri Sembilan!” ujar beliau. – UMNO Online