LKIM minta nelayan berdaftar dengan persatuan

TUMPAT, 26 Dis (Bernama) — Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) meminta agar nelayan di seluruh negara mendaftar dengan persatuan bagi memudahkan proses bantuan sekiranya mereka ditimpa musibah.

Ketua Pengarah LKIM Yusoff Othman berkata pihaknya hanya dapat membantu nelayan yang menjadi ahli sahaja selain banyak faedah boleh diterima.

“Nelayan hendaklah berdaftar dengan persatuan nelayan kerana hendak dapatkan data supaya kita dapat pastikan kaum nelayan terbela dan tiada yang tercicir daripada bantuan. Data menunjukkan setakat ini ada dalam 20,000 hingga 30,000 lagi nelayan masih belum berdaftar di seluruh negara.

“Rugi sekiranya mereka tidak berdaftar kerana banyak faedah yang kerajaan salurkan seperti elaun sara hidup, subsidi diesel, pinjaman tanpa faedah dan banyak lagi termasuklah bantuan sekiranya berlaku bencana seperti banjir,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada nelayan dari daerah ini yang terjejas banjir.

Yusoff berkata walaupun terdapat 1,250 nelayan terlibat dengan banjir di Pahang, Terengganu dan Kelantan, namun ia tidak menjejaskan bekalan stok ikan di ketiga-tiga negeri tersebut.

“Untuk pendaratan di tiga negeri ini ada sedikit pengurangan tapi tidak signifikan. Tapi sekiranya ada pengurangan yang signifikan, LKIM akan mengeluarkan stok ikan segar beku (QFish) bagi menstabilkan bekalan,” katanya.

Sebanyak 36 ketua isi rumah nelayan dari daerah Tumpat yang terlibat dalam bencana banjir minggu lepas menerima sumbangan wang tunai RM500 dan kit makanan.

Yusoff turut meminta nelayan yang mengalami kerosakan bot dan peralatan menangkap ikan supaya membuat laporan polis bagi memudahkan proses permohonan bantuan peralatan baharu agar aktiviti mereka tidak terjejas.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button