Perniagaan

LTAT Umum Dividen 3.5 Peratus

62views

KUALA LUMPUR, 11 Mei — Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mengisytiharkan pembayaran dividen sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 berbanding 2.5 peratus pada tahun 2019.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, LTAT mampu mengisytiharkan peningkatan dividen bagi 2020 berikutan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM229 juta berbanding RM92.8 juta pada 2019.

“Saya berpuas hati dengan keputusan dicapai LTAT bagi tahun 2020, lebih-lebih lagi ia dicapai di sebalik persekitaran ekonomi mencabar susulan pandemik COVID-19 yang menyebabkan pergolakan ekonomi dan turun naik pasaran pada 2020,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, faktor penyumbang utama kepada pencapaian lebih baik tahun lalu susulan kejayaan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi menerusi Pelan Transformasi LTAT.

“Ini membolehkan LTAT mencatatkan peningkatan keuntungan tertahan sebanyak RM287.5 juta selepas bayaran dividen berjumlah RM310.7 juta, berbanding keuntungan tertahan sebanyak RM63.5 juta pada 2019,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan sedar kebajikan terutama anggota tentera yang sedang berkhidmat harus terus menjadi keutamaan.

“Oleh itu, kami berbesar hati menyokong LTAT bagi memastikan peningkatan dividen bagi tahun itu,” katanya.

Ismail Sabri berkata, LTAT akan terus memperkasakan prospeknya melalui pelan transformasi sedang digiatkan dengan menumpu kepada pengukuhan dan pengimbangan semula portfolio pelaburannya.

Pada masa sama, katanya, agensi itu menambah baik struktur organisasi, pengurusan risiko, amalan tadbir urus korporat dan pembangunan sumber manusia.

“Tabung kini berada dalam tahun ketiga perjalanan transformasi ini, yang mana 41 dan 53 inisiatif berjaya dilaksanakan masing-masing pada 2019 dan 2020.

“Tambahan 77 inisiatif lagi akan dilaksanakan pada 2021 dengan matlamat memperkukuh operasi dan prestasi kewangan LTAT serta anak syarikatnya,” katanya.

Ismail Sabri berkata, tahun ini LTAT memulakan proses penstrukturan semula portfolio pelaburannya secara berperingkat dengan fokus kepada instrumen pendapatan tetap dan mempertingkatkan pelaburan ekuiti awamnya.

Sehingga 31 Disember 2020, aset di bawah pengurusan LTAT berada pada RM9.6 bilion.

– BERNAMA

Source Link