LZS terima RM11.1 juta zakat perniagaan 45 syarikat korporat

SHAH ALAM, 21 Dis (Bernama) — Lembaga Zakat Selangor (LZS) Selasa menerima zakat perniagaan daripada 45 syarikat korporat berjumlah RM11.1 juta yang diserahkan dalam satu upacara di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) di sini.

Dalam majlis tersebut, Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Berhad mendahului senarai syarikat korporat dengan jumlah bayaran RM2.59 juta diikuti QSR Brands (M) Holdings Bhd dan Kumpulan (RM1.74 juta), SIRIM Berhad (RM1.14 juta) serta Kumpulan Semesta Sdn Bhd., sejumlah RM1 juta.

Zakat perniagaan daripada kesemua syarikat korporat tersebut diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Mohd Sabirin berkata jumlah kutipan zakat setakat November telah melebihi RM800 juta dan pihaknya berharap agar kutipan keseluruhan tahun ini mampu mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1.05 bilion.

“Bagaimanapun, bukan sasaran kutipan ini yang hendak dikejar dan dibanggakan. Apa yang penting, sasaran tersebut menjadi penanda aras kepada kami untuk berusaha keras memastikan keperluan agihan dipenuhi agar dapat menyantuni kehidupan asnaf sepanjang tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan LZS)di Dewan Orkid, Wisma PKPS, di sini.

Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah Timbalan Mufti Selangor, Prof Madya Dr Miszairi Sitiris.

Pada majlis sama, LZS turut menyampaikan Bantuan Dermasiswa Huffaz kepada enam buah sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan menyalurkan bantuan zakat kepada dua individu terpilih dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.57 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM2.53 juta diagihkan kepada sekolah-sekolah agama berkenaan, manakala dua lagi individu masing-masing menerima Bantuan Perubatan Penyakit Jarang Jumpa (Hunter Syndrome) berjumlah RM27,736 dan Bantuan Pendidikan Anak Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM12,000.

Selain itu, Mohd Sabirin berkata bagi tempoh Januari hingga Oktober lepas, sebanyak 335,000 syarikat dan individu telah melunaskan pembayaran zakat mereka di LZS.

“Bagaimanapun, pihak kami mendapati jumlah pembayar yang berpotensi untuk mengeluarkan zakat adalah kira-kira sejuta orang,” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button