Home Berita MAFI akan bantu pihak berminat bawa masuk sumber makanan

MAFI akan bantu pihak berminat bawa masuk sumber makanan

31
0

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) — Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan membantu mana-mana pihak yang berminat membawa masuk sumber bekalan makanan ke dalam negara,  terutamanya ayam dari loji pemprosesan yang sah susulan pemansuhan kelulusan kuota import (AP), kata Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid.

Beliau berkata langkah membawa masuk ayam dari luar negara dan arahan Kabinet untuk memberhentikan eksport ayam bermula 1 Jun, akan menstabilkan bekalan ayam dalam masa terdekat.

“Bagi pihak yang berminat membawa masuk sumber makanan dari luar, MAFI akan membantu dari segi memudahkan urusan perniagaan. Sementara dalam isu bayaran subsidi kepada penternak ayam yang sebelum ini didakwa lewat, sudah mula ada langkah intervensi dari MAFI.

“Kesan positif semua langkah ini diharap dapat dilihat dalam waktu terdekat,” katanya ketika diwawancara secara dalam talian dalam program Ruang Bicara Khas bertajuk Pendekatan Bersama MAFI dan KPDNHEP: Selesaikah Isu Bekalan Ayam terbitan Bernama TV, yang disiarkan secara langsung hari ini.

Mengenai penyelesaian jangka panjang bagi isu bekalan makanan negara Haslina berkata MAFI komited untuk meningkatkan tahap sara diri negara, terutamanya bagi pengeluaran daging.

Sebagai contoh katanya jagung bijian yang merupakan makanan bagi ternakan dan dulunya diimport kini akan mula ditanam di dalam negara secara besar-besaran di Chuping, Perlis melalui penglibatan syarikat berkaitan kerajaan.

Sementara itu Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Azman Mohd Yusof yang turut menjadi tetamu dalam program yang sama berkata, isu kenaikan harga dan kurang bekalan ayam pada masa ini dijangka diatasi dalam masa sebulan.

“Pengguna yang mendapati ayam dijual pada harga yang tinggi, boleh membuat aduan rasmi dengan memberikan maklumat terperinci. Gunakan pelbagai saluran teknologi yang disediakan KPDNHEP untuk membuat aduan,” katanya.

Azman berkata KPDNHEP akan terus menganjurkan pelbagai program jualan dari semasa ke semasa, bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga yang berpatutan.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Previous articleBeri keutamaan kepada keselamatan makanan – YDP Pulau Pinang
Next articlePersimpangan Rio redakan kesesakan trafik di Bandar Puteri Puchong
Sistem Automasi Berita