info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Mah Sing pelbagaikan aktiviti ke dalam pembuatan sarung tangan

59views

KUALA LUMPUR, 15 Okt — Pemaju hartanah, Mah Sing Group Bhd merancang untuk mempelbagaikan aktiviti menerusi langkah menceburi bidang penjagaan kesihatan, iaitu pembuatan sarung tangan melalui anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Mah Sing Healthcare Sdn Bhd.

Dalam kenyataan hari ini, Mah Sing berkata usaha terbaru itu adalah sebahagian rancangannya untuk mengembangkan bahagian pembuatan ke dalam sektor penjagaan kesihatan dengan memanfaatkan pengalaman sebagai pembuat plastik.

Ia berkata usaha itu disokong oleh sinergi berpotensi yang diperoleh daripada kalangan perniagaan sarung tangan, plastik dan hartanah kumpulan.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata Mah Sing Healthcare akan mengubah gudang di Kapar, Klang, Selangor kepada kilang pembuatan sarung tangan pertamanya.

“Berasaskan binaan seluas kira-kira 228,800 kaki persegi, fasa satu kilang itu dapat menempatkan 12 barisan pengeluaran dengan kapasiti maksimum sehingga 3.68 bilion keping sarung tangan setahun — dengan kepantasan 38,000 keping sarung tangan bagi setiap barisan pengeluaran dalam tempoh sejam,” katanya dalam kenyataan itu.

Mah Sing Healthcare telah menandatangani surat tawaran untuk membeli jentera baharu bagi 12 barisan pengeluaran dalam usaha mempercepatkan proses penyiapan fasa satu kilang di Kapar.

Enam barisan pengeluaran pertama dijangka sedia untuk beroperasi seawal suku kedua 2021, diikuti oleh enam barisan pengeluaran lagi yang akan siap pada suku berikutnya.

Beliau berkata Mah Sing Healthcare juga menandatangani surat hasrat dengan beberapa pembekal bahan mentah bagi pembekalan getah nitril-butadiena dan bahan mentah lateks.

Sementara itu, Mah Sing Healthcare menyasarkan fasa kedua rancangan perluasan, yang termasuk melaksanakan opsyen untuk mengambil bahagian lain di kilang di Kapar (binaan kira-kira 287,500 kaki persegi), apabila permintaan melebihi kapasiti 12 barisan pengeluaran pertama tersebut.

“Ini dapat menampung 12 lagi barisan pengeluaran baharu dan meningkatkan lagi kapasiti sebanyak 3.68 bilion sarung tangan setahun,” katanya.

Pada masa ini, Mah Sing Healthcare telah memperoleh surat hasrat daripada beberapa bakal pelanggan dan pesanan indikatif kumulatif telah melebihi anggaran kapasiti maksimum bagi kedua-dua fasa kilang di Kapar.

Mah Sing berkata ia menyasarkan untuk menjadi lima pengeluar utama di Malaysia selain perluasan beransur-ansur sehingga mencapai 100 barisan pengeluaran yang berpotensi menghasilkan 30 bilion keping sarung tangan setahun.

— BERNAMA

 

Source link