info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

MAHB sasar ganda penerbangan kargo KLIA dalam tempoh 10 tahun

67views

KUALA LUMPUR, 3 Nov  — Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menyasar untuk menggandakan jumlah penerbangan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam tempoh 10 tahun akan datang berikutan bermulanya operasi pusat e-penunaian yang baharu, Hab eWTP Cainiao Aeropolis di sini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata dengan pertumbuhan jumlah kargo, pengendali lapangan terbang itu sedang mengkaji sambungan syarikat penerbangan yang lebih baik melalui KLIA dengan laluan baharu serta kekerapan penerbangan, penggunaan ruang perut dan kapasiti angkut.

“Rakan syarikat penerbangan sedia ada di KLIA akan menikmati hasil perniagaan baharu sementara kami mewujudkan perkongsian sinergistik dengan pemain industri tempatan, contohnya, Pos Aviation, MABKargo dan GTR (Ground Team Red) untuk mengintegrasikan kemudahan sedia ada dalam Cainiao Aeropolis, Malaysia manakala penghantaran batuan terakhir bagi penyelesaian barangan itu akan dikendalikan oleh GDex, Pos Laju, J&T Express dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MAHB dan Alibaba Group hari ini menyambut baik permulaan operasi Cainiao Aeropolis, yang dahulunya dikenali sebagai KLIA Aeropolis DFTZ Park, yang merupakan sebahagian daripada usaha bersama mereka dalam mengukuhkan pemulihan ekonomi Malaysia dan menyokong peningkatan aliran perdagangan di rantau yang lebih luas.

Menurut Mohd Shukrie, pada peringkat permulaan, ini dijangka membantu pengendali e-dagang membuat penghantaran dalam tempoh 24 jam di Malaysia dan seterusnya, penghantaran dalam rangka masa 72 jam ke seluruh dunia.

“Kami yakin kemudahan baharu ini akan dapat meningkatkan jumlah kargo sebanyak 700,000 tan metrik, sekali gus menggandakan jumlah semasa KLIA kepada 1.4 juta setahun menjelang 2029.

“Kami mensasarkan pasaran menegak daripada sektor automotif, sukan, fesyen dan gaya hidup, elektronik dan sektor peralatan perubatan, antara lain,” katanya.

Hab eWTP Cainiao Aeropolis merangkumi kawasan seluas 24.28 hektar dengan ruang gudang seluas 1.1 juta kaki persegi.

Hab ini merupakan usaha sama antara MAHB dan Alibaba Group, dan adalah fokus keutamaan di bawah perkongsian eWTP (Platform Perdagangan Dunia Elektronik) yang dimeterai antara kerajaan dan Alibaba Group pada 2017.

Source link