info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

MAIK Sedia Peruntukan Lebih RM9 Juta Menerusi Fasa Lima Program Prihatin MAIK

76views

KOTA BHARU, 2 Jun — Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memperuntukkan lebih RM9 juta menerusi Program Prihatin MAIK COVID-19 fasa lima bagi membantu kumpulan sasaran di bawah naungannya.

Yang Dipertua MAIK Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata peruntukan itu bermatlamat untuk mengurangkan beban mereka sepanjang tempoh sekatan pergerakan penuh.

Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata jumlah itu akan membabitkan enam kluster utama iaitu bantuan khas kepada asnaf fakir miskin berjumlah RM3.7 juta yang akan memanfaatkan seramai 7,522 orang.

“Selain itu elaun pegawai masjid termasuk sumbangan asnaf melalui pihak masjid bernilai RM2.4 juta dan sumbangan barangan dan makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) setiap jajahan yang berjumlah RM100,000.

“Peruntukan itu juga akan membabitkan bantuan kepada masyarakat Orang Asli termasuk Guru Agama Orang Asli yang berjumlah RM436,180 selain sumbangan peralatan kesihatan bagi membantu dan merawat pesakit COVID-19 kepada pihak hospital sebanyak RM47,800,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Rizam berkata peruntukan itu juga turut merangkumi pembaikian, menaik taraf masjid negeri, bandar, mukim serta surau di seluruh negeri Kelantan berjumlah RM3.1 juta.

“Program Imunisasi COVID-19 juga akan sentiasa mendapat sokongan dan perhatian pihak MAIK dan diharapkan agar lebih ramai rakyat Kelantan akan tampil mendaftar seterusnya menerima suntikan tersebut, sebagai suatu usaha kita menghindari wabak yang melanda.

“Di sebalik sumbangan yang disalurkan ini, terdapat hero yang tidak didendangkan iaitu para pembayar zakat, pewakaf dan mereka yang menginfakkan harta melalui MAIK.

“Penghargaan harus diberikan kepada semua ‘Hero Asnaf’ ini dan semoga kita terus dilindungi Allah daripada segala bala dan ujian yang menimpa, dan segera dibuka jalan keluar daripada kesulitan ini.

Source link