MAIWP salur RM6 juta bantu mangsa banjir

KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan RM6 juta bagi membantu mangsa banjir khususnya di negeri Pantai Timur.

Pengerusi MAIWP Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata daripada jumlah peruntukan itu, sebanyak RM1 juta akan disalurkan masing-masing kepada Majlis Agama Islam Negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Beliau berkata RM2 juta lagi untuk misi bantuan banjir dan barangan sumbangan seperti jag air elektrik, sejadah, kain batik, kain pelikat serta alatan pembersihan.

Sementara itu, sebanyak RM1 juta disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan kit solat menerusi Skuad Musa’adah iaitu agensi di bawah Menteri Agama Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Peruntukan RM6 juta merupakan wang zakat daripada pembayar zakat dan kami berterima kasih kepada kesemua pembayar zakat,” katanya kepada pemberita selepas upacara penyerahan vest Skuad MAIWP INSANI di Darul Kifayah MAIWP Batu Caves di sini, hari ini.

Dalam masa sama, pihaknya turut memobilisasikan Skuad MAIWP INSANI ke Kelantan dan Terengganu bermula hari ini hingga Jumaat (30 Dis).

Mohd Daud berkata seramai 108 pegawai MAIWP, anak syarikat MAIWP dan badan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat dalam menyalurkan bantuan barangan kelengkapan berkenaan yang merangkumi 1,500 mangsa banjir di setiap negeri yang terlibat.

“Pada peringkat awal, mungkin banyak sokongan tetapi ketika pascabanjir, ia memerlukan tenaga dan kudrat manusia untuk mereka yang terkesan terutamanya bagi membersihkan rumah dan mengembalikannya dalam keadaan asal.

“Jadi hari ini, skuad misi MAIWP INSANI menyumbang tenaga dan tulang empat kerat untuk membantu mangsa banjir di samping bantuan dan sumbangan kewangan daripada kami (MAIWP),” katanya.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button