Berita

Maki Hamun Polis Kerana Ditahan Cuba Rentas Negeri

63views

KULIM, 17 Mac — Polis menahan sepasang suami isteri kerana merentas negeri tanpa kebenaran dan menghalang tugas penjawat awam dalam pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Junjong di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata dalam kejadian jam 10.45 pagi itu anggotanya menahan kereta Honda Jazz berwarna hitam yang dinaiki pasangan suami isteri berusia 37 dan 40 tahun bersama seorang kanak-kanak lelaki.

Beliau berkata, pasangan dari arah Pulau Pinang itu memaklumkan mereka mempunyai urusan pertukaran sekolah anak ke Kedah, namun gagal menunjukkan surat kebenaran rentas negeri atau dokumen berkaitan pertukaran persekolahan.

“Anggota polis yang bertugas cuba menjelaskan secara berhemah kepada pasangan itu bahawa sebarang pergerakan keluar negeri tidak dibenarkan jika tiada surat kebenaran.

“Ketika anggota polis meminta kad pengenalan lelaki itu untuk pemeriksaan rutin, pasangan suami isteri terbabit bertindak keluar kereta lalu memaki hamun anggota berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar berkata, susulan itu pasangan berkenaan ditahan dan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim untuk tindakan lanjut.

Source Link