Berita

Malaysia Airlines kemas kini nasihat perjalanan untuk Langkawi 

KUALA LUMPUR, 15 Sept — Malaysia Airlines telah mengemas kini nasihat perjalanannya untuk penumpang yang menuju ke Langkawi, sejajar dengan syarat perjalanan terkini oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Malaysia Airlines berkata di bawah program gelembung perjalanan yang diumumkan sebelum ini, hanya pelancong yang telah mendapat vaksinasi sepenuhnya kecuali mereka yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) boleh melakukan perjalanan ke Langkawi manakala tanggungan atau kanak-kanak di bawah 18 tahun yang belum mendapat vaksinasi mereka perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga untuk masuk ke Langkawi.

Bagaimanapun, hari ini KKM telah mewajibkan penumpang berusia tujuh tahun ke atas untuk menjalani ujian COVID-19 (RT-PCR atau RTK-Antigen) sebelum berlepas.

Kebenaran untuk melakukan perjalanan akan bergantung kepada penilaian risiko yang termasuk status vaksinasi penumpang dan keputusan ujian COVID-19.

“Ujian RT PCR atau RTK Antigen boleh dilakukan di mana-mana kemudahan kesihatan atau makmal swasta dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas dan sijil ujian dengan keputusan negatif perlu ditunjukkan di kaunter daftar masuk syarikat penerbangan,” menurut syarikat penerbangan itu dalam kenyataan hari ini.

Sebagai alternatif, pelanggan boleh membeli kit ujian kendiri yang menggunakan sampel air liur mereka sendiri dan menjalani ujian di Anjung Tinjau, Aras 5, KLIA.

Kit ujian tersebut juga boleh dibeli melalui penyedia perkhidmatan swasta di Anjung Tinjau.

Pegawai KKM akan mengeluarkan slip selepas selesai ujian itu dan penumpang diminta untuk menunjukkan slip tersebut di kaunter daftar masuk, menurut syarikat penerbangan itu.

“Bagaimanapun, kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah perlu menjalani penilaian kesihatan di Anjung Tinjau, Aras 5 di KLIA dengan mengambil kira keupayaan mereka untuk mengeluarkan air liur.

“Kategori penumpang ini perlu melakukan perjalanan dengan ibu bapa atau penjaga yang sah yang telah mendapat vaksinasi sepenuhnya, keputusan ujian negatif untuk COVID-19 dan bukan kontak rapat dengan kes positif,” katanya.

Penumpang yang melakukan perjalanan ke Langkawi untuk tujuan lain selain pelancongan masih perlu menunjukkan permit polis semasa mereka memasuki terminal dan di kaunter daftar masuk.

Mereka perlu menyimpan semua dokumen yang berkaitan (slip dan sijil) untuk pengesahan semasa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Maklumat lanjut mengenai nasihat terkini boleh didapati di
https://www.malaysiaairlines.com/mhapp/hq/en/important-notice/malaysia/langkawi.html.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button