BeritaEkonomi

Malaysia antara tiga prospek pasaran teratas pertumbuhan perniagaan

KUALA LUMPUR, 8 Sept  — Syarikat Taiwan yang menumpukan ASEAN mengenal pasti Malaysia sebagai antara tiga pasaran teratas yang menjanjikan prospek amat cerah untuk perluasan seterusnya dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Tinjauan yang dijalankan Standard Chartered bagi ‘Borderless Business: Taiwan-ASEAN Corridor’ (Perniagaan Tanpa Sempadan: Koridor Taiwan-ASEAN) mendapati kebanyakan syarikat menjangkakan pertumbuhan perniagaan di rantau ini.

Sebanyak 98 peratus responden mengunjurkan kenaikan perolehan dan 93 peratus juga menjangkakan pertumbuhan pengeluaran.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Malaysia, Abrar A. Anwar berkata Taiwan merupakan antara rakan dagang utama Malaysia dan pelabur besar di Malaysia, menumpukan terutama industri pembuatan seperti elektrik dan elektronik, bioteknologi serta sektor berkaitan teknologi tinggi.

“Kami yakin lebih banyak perniagaan Taiwan akan mendapati Malaysia adalah satu saranan yang amat menarik, khususnya untuk kapasiti pengembangan kami dalam industri dan segmen utama seperti kimia, peralatan perubatan berteknologi tinggi, biofarmaseutikal dan tenaga boleh baharu.

“Pandangan ini diperkukuh dengan lokasi penting Malaysia sebagai pusat pembuatan Asia Tenggara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata Standard Chartered komited menyokong perniagaan Taiwan yang merancang untuk beroperasi di Malaysia dengan menyediakan khidmat nasihat yang sesuai dilaksanakan selain penyelesaian kewangan inovatif yang memenuhi keperluan tempatan dan rentas sempadan.

Menurut tinjauan itu, syarikat Taiwan yakin Singapura, Filipina dan Malaysia menawarkan peluang perluasan terbaik untuk jualan dan pengeluaran.

“Akses kepada pasaran pengguna ASEAN yang luas dan berkembang, wujudnya asas pembekal yang matang dan boleh dipercayai serta akses kepada pasaran global yang dipenuhi menerusi rangkaian perjanjian perdagangan bebas adalah dianggap sebagai pemacu paling penting bagi perluasan ke  rantau ini oleh responden,” menurut Standard Chartered.

Tinjauan itu turut mendapati langkah ratifikasi perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka menarik lebih banyak pelaburan ke rantau ini, dengan lebih 90 peratus responden merancang untuk meningkatkan pelaburan mereka dengan sekurang-kurangnya 25 peratus dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.

Syarikat Taiwan dalam tinjauan ini kini menjalankan aktiviti pembuatan dan jualan di semua pasaran ASEAN-6 merangkumi Malaysia, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Bank itu juga menjelaskan walaupun syarikat Taiwan optimis dengan peluang di ASEAN namun mereka juga memahami terdapat risiko yang perlu diuruskan.

Tiga risiko utama yang dikenal pasti ialah pandemik COVID-19 atau krisis kesihatan lain; ketidaktentuan geopolitik dan konflik perdagangan; pemulihan ekonomi yang perlahan serta penyusutan perbelanjaan pengguna, jelasnya.

“Bagi menyokong pertumbuhan, syarikat ini menjelaskan mereka mencari rakan perbankan yang menawarkan perkhidmatan pembiayaan perdagangan yang besar; kekukuhan kemampuan pengurusan tunai serta lindung nilai pertukaran asing dan perkhidmatann penyelesaian pelbagai mata wang komprehensif,” menurut bank itu.

Standard Chartered menerbitkan edisi keempat siri ‘Borderless Business’ bagi 2021.

Laporan itu boleh dimuat turun di www.sc.com/en/borderless.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button