Berita

Malaysia Belum Bersedia Undi 18, Sayap Pemuda Minta Penjelasan

124views

KUALA LUMPUR, 14 Mac — Sayap pemuda parti politik menggesa kerajaan menjelaskan pendirian berhubung status undi 18 tahun, selain meminta pelaksanaannya dijayakan bermula Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ini berikutan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had kelayakan mengundi kepada 18 tahun sudah pun diluluskan di Parlimen pada Julai 2019 dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli dewan, sementara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula menjangkakan ia boleh dilaksana selewat-lewatnya Julai ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan, berkata adalah tidak munasabah jika ada usaha sedang dilakukan untuk menangguhkan pelaksanaannya khususnya pada PRU akan datang.

“Tidak munasabah. Bagaimana mahu berdepan orang ramai berkenaan perkara ini? Kredibiliti akan terjejas andai sesiapa saja mahu mengalih tiang gol hanya kerana khuatir parti lawan mempunyai peluang menjaringkan gol.

“Kalau risau.. bersaing baliklah. Biar menang atau kalah dengan maruah,” katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO di Twitternya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting, berkata, pihaknya masih kekal dengan keputusan dibuat pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA kali ke-56 supaya kerajaan tetap berpegang kepada perkara diputuskan Dewan Rakyat pada 16 Julai 2019 untuk menguatkuasakan undi 18 tahun.

“Nicole tidak takut akan pelaksanaan undi 18, pemuda MCA tidak pernah takut, malah kami menanti-menantikan masa itu sampai kerana saya percaya golongan muda negara ini akan menolak sekuat-kuatnya ahli politik yang hanya fokus dalam memfitnah dan memburuk-burukkan nama orang lain,” katanya di Facebook beliau.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasir berkata, sebarang usaha untuk menggagalkan pelaksanaan undi 18 tahun hendaklah segera dihentikan dan SPR serta agensi terbabit perlu diberikan kebebasan dalam melaksanakan tugas mengikut garis masa yang sudah disasarkan iaitu pada Julai 2021.

“Janganlah kerana kekalahan PN (Perikatan Nasional) semakin hampir, maka 1,001 jalan manipulasi dirangka yang natijahnya akan merosakkan sistem demokrasi dan pentadbiran negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Pengasas Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pada awal RUU itu dibentangkan, kata sepakat antara pemimpin kerajaan dan pembangkang sudah diperoleh bagi memastikan pelaksanaannya berjaya.

“Waktu kita bahas mengenai hal menurunkan had umur mengundi ini, saya sendiri pergi berjumpa dan berbincang dengan semua pemimpin politik kerajaan dan pembangkang. Memang undi 18 tahun sudah mendapat sokongan majoriti besar di dalam Dewan Rakyat.

“Macam mana boleh kata pelaksanaan undi 18 tahun tidak lagi bersedia sebab SPR dan Menteri (di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan sudah beri komitmen undi 18 dilaksana selewat-lewatnya Julai 2021. Hormatlah keputusan Dewan Rakyat,” katanya menerusi blognya hari ini.

Ketua Pemuda DAP, Howard Lee dalam ciapan ringkas di akaun Twitternya pula berkata, PRU tanpa pelaksanaan undi 18 tahun adalah PRU yang melanggar Perlembagaan Persekutuan.

Kelmarin, Ketua Penerangan Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir, juga menjelaskan isu undi 18 dibangkitkan sebagai satu falasi untuk mencipta sentimen buruk kepada kerajaan.

“Malah parti politik yang secara jelas tidak faham asas kenegaraan dan demokrasi dalam negara. Justeru persoalannya, adakah benar kita bersedia?” katanya.

Isu undi 18 tahun kembali timbul apabila Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, seperti dipetik sebuah portal berita sebelum ini mendakwa pelbagai kekangan wujud ke arah pelaksanaannya, sebelum negara benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Source Link