BeritaTeknologi

Malaysia dipilih semula sebagai pengerusi APCERT bagi 2021-2022

KUALA LUMPUR, 1 Okt  — Malaysia melalui CyberSecurity Malaysia dipilih semula sebagai Pengerusi dan Ahli Jawatankuasa Pemandu kepada Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer Asia Pasifik (APCERT) bagi penggal 2021-2022.

Pemilihan berlangsung pada Mesyuarat Agung Tahunan APCERT yang diadakan secara dalam talian pada 29 Sept lepas, dihoskan oleh Sekretariat APCERT, Pasukan Tindakbalas Kecemasan Komputer/Pusat Koordinasi Jepun (JPCERT/CC).

CyberSecurity Malaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan dengan pelantikan ini, Malaysia sekali lagi diberi kepercayaan menerajui Jawatankuasa Pemandu APCERT yang turut dianggotai pasukan tindak balas kecemasan komputer dari negara-negara seperti Republik Rakyat China, Jepun, Australia, Sri Lanka dan Taiwan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan sama berkata kerjasama global seperti APCERT ini penting dalam usaha menangani ancaman dan serangan siber kerana isu keselamatan siber adalah isu sejagat yang berlaku tanpa mengenal sempadan.

Jelasnya penglibatan Malaysia melalui CyberSecurity Malaysia di arena antarabangsa amat signifikan kerana ini menunjukan kesungguhan negara dalam membina keupayaan dan kecekapan untuk mengukuh dan memperkasakan ekosistem keselamatan siber.

“Platform kerjasama seperti APCERT ini pastinya akan menghasilkan penciptaan nilai ekonomi digital serta menjadi hab rujukan bagi memupuk kepercayaan, jalinan persefahaman jangka panjang dan kolaborasi perniagaan antara negara,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia Jeneral (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed yang hadir pada mesyuarat itu berkata pemilihan berkenaan adalah pengiktirafan kepada kepimpinan, kepakaran teknikal dan komitmen CyberSecurity Malaysia di rantau ini terutamanya sewaktu dunia menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

Beliau dalam kenyataan sama berkata Malaysia sebagai Pengerusi APCERT akan menerajui kolaborasi dalam menyampaikan perkhidmatan yang dipercayai khususnya dalam menangani serangan siber berskala besar serta mengurangkan impak berkaitan selain memberi tindak balas segera dalam menghadapi insiden siber.

CyberSecurity Malaysia, agensi pakar dan teknikal keselamatan siber di bawah kawal selia KKMM, adalah sebuah organisasi pengasas kepada penubuhan APCERT pada 2002 dan kekal sebagai Ahli Jawatankuasa Pemandu APCERT semenjak penubuhannya serta akan meneruskannya sehingga 2023.

Ini adalah kali keempat agensi itu dipilih sebagai Pengerusi APCERT selepas pemilihan yang pertama (2007), kedua (2019-2020) dan ketiga (2020-2021).

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button