Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaMalaysia ikrar sertai misi ICAO bagi pemulihan industri penerbangan pasca COVID-19

Malaysia ikrar sertai misi ICAO bagi pemulihan industri penerbangan pasca COVID-19

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Malaysia berikrar akan mengambil bahagian secara aktif dalam misi berterusan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) untuk membolehkan rangkaian pengangkutan udara global serta objektif strategik terutama dari segi keselamatan dan penambahbaikan kemudahan agar lebih bersedia menghadapi pemulihan industri penerbangan pasca COVID-19.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata beliau turut mengulangi komitmen kerajaan Malaysia bagi menyokong inisiatif ICAO dengan tumpuan khusus terhadap objektif keselamatan dan penambahbaikan kemudahan selepas mengambil kira kesan ekonomi akibat COVID-19 ke atas sektor penerbangan.

“Malaysia menyokong dan menghargai usaha yang dilakukan oleh ICAO terutama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Penerbangan Awam (CART) yang terdiri daripada negara anggota, organisasi serta pemain industri serantau dan antarabangsa.

“Ia menangani cabaran pandemik dan menyediakan panduan ke arah pemulihan serta pembukaan semula sektor penerbangan yang selamat dan mampan,” katanya dalam ucapan pembukaan Future Aviation Forum 2022 di Riyadh, Arab Saudi hari ini.

Beliau juga berkata adalah penting bagi semua penggiat industri penerbangan untuk merangka strategi bagi menyesuaikan diri dengan normal baharu dengan melihat ke hadapan melangkaui pandemik demi kelangsungan hidup.

Wee berkata tindakan sewajarnya dan diselaras yang diambil oleh negara berbeza juga penting dalam menstabil serta menyokong industri penerbangan masing-masing iaitu melangkaui syarikat penerbangan dan lapangan terbang mereka.

“Kerajaan semua negara juga perlu menangani dan membolehkan pemulihan ekonomi yang lebih luas bagi memastikan industri penerbangan dapat meneruskan peranan pentingnya dalam menyediakan kesalinghubungan, memacu kemakmuran negara dan pertumbuhan pekerjaan,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pengenaan protokol kesihatan yang lebih mudah, konsisten dan boleh diramal untuk perjalanan udara.

Ini termasuk membenarkan penumpang yang sudah divaksinasi melakukan perjalanan tanpa langkah tambahan dan penggunaan ujian antigen prapelepasan bagi penumpang yang tidak divaksinasi.

“Langkah lain yang memerlukan pertimbangan lanjut adalah bagi mengelakkan ujian sejurus ketibaan dan memansuhkan sekatan perjalanan.

“Pelonggaran sekatan perjalanan juga harus dipercepat sebagai mengiktiraf fakta bahawa pengembara tidak menimbulkan risiko jangkitan COVID-19 yang lebih besar berbanding yang sudah wujud dalam kalangan masyarakat umum,” katanya.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular