info@rakyat.my
Thursday, June 17, 2021
Berita

Malaysia Selaraskan Zon Waktu Berbeza Demi Jayakan APEC 2020

119views

Oleh Lizawati Bahanan

KUALA LUMPUR, 10 Nov — Penyelarasan zon waktu antara 21 anggota Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) adalah cabaran yang perlu ditangani Malaysia selaku tuan rumah Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC 2020 yang julung kali diadakan secara maya pada 20 Nov ini.

Semua anggota APEC yang masing-masing berada di lapan zon waktu berbeza kali ini perlu bersidang mengikut format digital susulan krisis kesihatan yang dicetuskan pandemik COVID-19.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagaimanapun, sehingga kini Malaysia berjaya menyelaras dan melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Ini bukan sahaja akan mengangkat profil Malaysia sebagai tuan rumah, malah menjadikan negara lebih dihormati dan disegani dalam kalangan anggota ekonomi APEC,” katanya dalam satu temu bual eksklusif bersama Bernama.

Beliau berkata Malaysia turut bertanggungjawab dalam merangka format digital yang paling optimum dan boleh diterima pakai oleh semua anggota ekonomi APEC khususnya dalam situasi sukar norma baharu akibat pandemik COVID-19 yang menghadkan pergerakan sosial.

Cabaran lain termasuk keupayaan teknologi memandangkan bukan semua teknologi terkini boleh digunakan kerana sesetengah anggota APEC mempunyai peraturan keselamatan siber selain jurang keupayaan teknologi yang berbeza, katanya.

“Namun, segala halangan teknikal ini berjaya diharungi, dan Malaysia boleh berbangga menjadi penggubal spesifikasi dan garis panduan teknikal penganjuran mesyuarat APEC secara maya,” katanya.

Mohamed Azmin berkata Malaysia akan terus memberikan usaha serta komited terbaik dalam melaksanakan tanggungjawab serta amanah sebagai tuan rumah dan pengerusi APEC 2020 meskipun pandemik COVID-19 menjadi cabaran terbesar.

Paling menarik, Malaysia akan mencipta sejarah dengan menjadi yang pertama dalam kalangan anggota ekonomi APEC mempelopori pelaksanaan mesyuarat secara maya atau digital sepenuhnya sehingga ke peringkat pemimpin.

“Ini termasuk program dan inisiatif APEC di peringkat Kumpulan Kerja Pegawai-pegawai Kanan APEC, Mesyuarat Peringkat Menteri sehinggalah acara kemuncak APEC iaitu Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC,” katanya.

Kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah mesyuarat APEC adalah pada 1998.

Beliau berkata sebagai tuan rumah APEC 2020, Malaysia berjaya mengeluarkan tujuh pernyataan bersama peringkat menteri yang dirundingkan dan dimuktamadkan tanpa sebarang mesyuarat fizikal.

Tujuh pernyataan di peringkat menteri itu ialah Pernyataan Menteri-menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan (MRT) mengenai Penularan COVID-19 dan Pernyataan MRT mengenai Mesyuarat Maya Menteri-Menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan.

Pernyataan lain ialah Pernyataan Mesyuarat Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC dan Pernyataan Mesyuarat Menteri-menteri Kewangan APEC.

Seterusnya ialah Pernyataan Mesyuarat Peringkat Tinggi Mengenai Kesihatan dan Ekonomi; Pernyataan Dialog Dasar Menteri Mengenai Jaminan Makanan APEC dan Pernyataan Dialog Peringkat Tinggi Mengenai Wanita dan Ekonomi.

Mohamed Azmin juga berkata konsep Kemakmuran Bersama turut diterapkan dalam tema APEC 2020 iaitu ‘Mengoptimumkan Potensi Insan ke arah Masa Depan Kemakmuran Bersama’.

“Melalui konsep Kemakmuran Bersama ini, Malaysia telah ‘merakyatkan’ APEC dengan mendorong perbincangan yang bukan hanya berkisar kepada agenda biasa perdagangan dan pelaburan.

“Malah menfokuskan manfaat yang dapat dirasai dari segi sosioekonomi dan diterjemahkan kepada format yang mudah difahami oleh rakyat.

“Konsep ini telah memberi penekanan terhadap keperluan untuk menangani isu pengagihan kekayaan tidak sekata dalam kalangan ekonomi APEC,” katanya.

Beliau yakin konsep Kemakmuran Bersama ini bertepatan dengan usaha APEC dalam memastikan ekonomi dan kesejahteraan segenap warga terus terpelihara meskipun mengalami impak pandemik COVID-19.

Pendekatan yang harus diambil pada masa kini bukan lagi dari segi dasar perlindungan sebaliknya memperkukuh kolaborasi antara anggota ekonomi APEC serta saling membantu, katanya.

“Sebagai contoh dalam konteks vaksin (COVID-19), kita mahu vaksin ini boleh diperoleh dengan mudah,” katanya.

APEC, forum ekonomi serantau yang mempunyai 21 anggota, diwujudkan pada 1989 dengan matlamat menggalakkan perdagangan bebas dan pembangunan mampan dalam ekonomi yang berada di Lingkungan Pasifik.

Malaysia menjadi tuan rumah APEC 1998 dengan mengangkat tema ‘Strengthening the Foundations for Growth’ (Memperkukuh Asas Bagi Pertumbuhan).

— BERNAMA

Source link