Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaMalaysia sokong cadangan untuk kewangan lestari

Malaysia sokong cadangan untuk kewangan lestari

KUALA LUMPUR, 24 Mei (Bernama) — Malaysia menyokong cadangan untuk mewujudkan kewangan lestari yang akan menjadikan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menepati peranannya, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata Malaysia menyokong perubahan ke arah struktur kesihatan antarabangsa yang mengambil berat nilai moral dalam tindak balas terhadap COVID-19.

Bagaimanapun, sebarang pindaan kepada Peraturan Kesihatan Antarabangsa mestilah menghormati prinsip kesaksamaan, akauntabiliti dan ketelusan serta proses kedaulatan negara anggota, kata Khairy pada Perhimpunan Kesihatan Dunia ke-75 di Geneva, Switzerland, hari ini.

“Negara anggota mestilah dipastikan bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat penting mengenai isu kesihatan awam, tetapi marilah kita menyeru kepada perkongsian hak intelek dan pengetahuan tentang pengeluaran vaksin, diagnostik dan terapeutik

“Marilah melaksanakan mekanisme untuk pengagihan sumber yang adil dan saksama, yang diperlukan dalam sesuatu pandemik. Kita patut membina semula dengan lebih baik, namun secara saksama tiada negara yang ketinggalan. Dalam Bahasa Melayu terdapat pepatah ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’. Kita bukan sahaja berkongsi kesusahan, tetapi juga berkongsi penawar dan penemuan,” katanya.

Khairy yang dilantik sebagai salah seorang daripada lima naib presiden Perhimpunan Kesihatan Dunia (WHA) ke-75 berkata: “Gangguan ekonomi disebabkan oleh kurangnya keamanan, akan mengakibatkan jutaan orang terjerumus ke dalam kemiskinan dan hal itu akan memburukkan lagi faktor-faktor sosioekonomi kesihatan dan menjejaskan visi kesihatan kita untuk semua.”

Beliau berkata kesihatan sedunia terus bertambah teruk dan kesihatan planet ini berkait rapat dengan keadaan kesihatan manusia, dengan perubahan iklim yang telah mengakibatkan kemusnahan meluas kepada bekalan makanan.

“Pandemik zoonosis seterusnya bukan lagi satu hipotesis tetapi sesuatu yang hampir pasti dan penyakit-penyakit tropika yang diabaikan, seperti denggi, yang memberi kesan kepada negara seperti Malaysia, kini mendapat perhatian negara lain kerana pemanasan global,” katanya.

Sementara itu, Khairy berkata tema perhimpunan tahun ini iaitu Health for Peace, Peace for Health sangat bertepatan pada ketika dunia perlahan-lahan keluar daripada pandemik dan mengharapkan untuk masa depan lebih cerah, namun dunia kini mendapati ia berada dalam situasi lebih berbahaya.

“Perang mengancam kemanusiaan, iaitu mereka yang terkesan secara langsung oleh perang dan mereka yang tidak terlibat secara langsung namun berkemungkinan menghadapi kesan kekurangan makanan dan kelaparan.

“Malaysia berterima kasih kepada ketua pengarah kerana mengingatkan kita tentang kesan akibat perang terhadap kesihatan manusia, yang sedang berlaku, bukan sahaja di tempat yang menjadi fokus berita, malah di banyak tempat di dunia yang dilanda konflik berterusan, termasuk wilayah Palestin yang dijajah, iaitu penindasan terhadap rakyatnya terus berpanjangan,” katanya.

Merumuskan ucapannya, Khairy berkata Malaysia menyeru semua menteri dan pegawai kesihatan yang menghadiri perhimpunan itu supaya menjadi suara kepada keadilan sosial dalam kerajaan masing-masing dan berjuang untuk liputan kesihatan sejagat untuk semua.

“Marilah kita mengiktiraf pengorbanan petugas kesihatan ketika pandemik dengan menuntut sumber-sumber yang diperlukan untuk membina sistem kesihatan yang kukuh, supaya kesihatan dilihat sebagai pelaburan dan bukan semata-mata item dalam senarai bajet.

“Serta untuk kita menjaga dengan lebih baik kesejahteraan fizikal, mental dan rohani rakyat dan kesihatan planet yang dikongsi bersama ini,” kata Khairy.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular