Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaMalaysia Tempat Berlindung Warga Asia Barat

Malaysia Tempat Berlindung Warga Asia Barat

AMPANG, 4 Jun – “Kami terpaksa keluar dari Afghanistan kerana nyawa kami terancam akibat perang berlanjutan. Disebabkan itu, kami datang ke Malaysia untuk menyelamatkan diri dan memohon perlindungan sebagai pelarian menerusi Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR),” Mahdi Nazari.

Mahdi, 23, yang sudah menetap di Malaysia sejak 2019 itu memaklumkan dia masuk ke negara ini bersama rakannya melalui laluan udara dan menyara kehidupan di negara ini dengan bekerja sambilan sebagai di sebuah universiti swasta dengan gaji RM1,200 sebulan.

“Saya sebenarnya berhasrat berpindah ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat dan Australia untuk tinggal secara tetap sebaik dokumennya selesai diproses oleh pihak UNHCR,” katanya ketika ditemui dalam serbuan operasi dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di sebuah kondominium di Bandar Baru Ampang, di sini, awal pagi tadi.

Seorang lagi warga Afghanistan, Mohammad Younus, 48, berkata, dia menetap di kondominium di Bandar Baru Ampang bersama isteri dan seorang anak lelakinya berusia tujuh tahun.

“Saya sudah menetap di negara ini selama empat tahun lalu. Keluarga saya tinggal bersama dengan sebuah lagi keluarga dari Afghanistan di kondominium ini yang disewa pada harga RM1,200 sebulan.

“Kami terpaksa berkongsi rumah dengan keluarga berkenaan yang mempunyai empat anak kerana mahu berkongsi membayar sewa bulanan rumah. Untuk menyara hidup, saya menjalankan beberapa kerja sambilan termasuk di restoran dan syarikat penghantaran dengan gaji diterima dianggarkan kira-kira RM1,200 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran warga asing dari Asia Barat sehingga mencetuskan tidak selesa penghuni di sebuah kondominium di Bandar Baru Ampang, di sini, pada dua minggu lalu.

Berikutan itu, pihaknya menerusi 71 pegawai termasuk bantuan pasukan Imigresen Selangor membuat serbuan di lokasi berkenaan kira-kira jam 11 malam tadi.

“Dalam serbuan ini, kita memeriksa 205 individu terdiri daripada 196 warga Afghanistan membabitkan 97 lelaki 74 wanita serta 31 kanak-kanak.

“Selain itu, kami turut memeriksa enam warga Libya membabitkan seorang lelaki serta lima wanita dan dua lelaki dari India. Semua individu yang diperiksa berusia antara sembilan bulan hingga 68 tahun.

“Daripada jumlah itu, kami menahan 49 individu membabitkan 27 lelaki, 17 wanita dan 15 kanak-kanak untuk pemeriksaan lanjut dokumen mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Syamsul berkata, kebanyakan warga asing yang diperiksa berasal dari Afghanistan dan mempunyai kad UNHCR yang menyewa unit kondominium berkenaan.

“Malah, setiap rumah berkenaan didiami antara tiga hingga 10 individu yang berkongsi membayar sewa berkenaan menggunakan gaji yang diperoleh menerusi kerja sambilan dilakukan mereka seperti bekerja di restoran dan kilang,” katanya.

Beliau berkata, warga asing berkenaan memilih unit kondominium sebagai tempat tinggal kerana merasa selamat memandangkan mereka tidak mahu pulang semula ke negara asal.

“Kebanyakan warga asing ini datang dengan ahli keluarga mereka dan apabila tiba di Malaysia, mereka akan minta kad daripada UNHCR sebagai pelarian.

“Lazimnya, mereka ada memiliki pasport ketika masuk ke negara ini dan masuk secara sah,” katanya.

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular