Malaysia-Thailand: Harimau Malaya akan kekalkan permainan dinamik dan menarik

KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) — Walaupun akan berhadapan lawan yang sukar, skuad Harimau Malaya akan mengekalkan gaya permainan yang dinamik dan menarik, ketika berhadapan juara bertahan Thailand pada perlawanan separuh akhir pertama Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2022, malam esok.

Ketua Jurulatih Kebangsaan Kim Pan Gon berkata walaupun kedudukan ranking Thailand lebih baik dari Malaysia, namun ia tidak akan merubah gaya permainan pasukan, dalam mendapatkan keputusan yang positif di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

“Kita semua tahu pasukan ranking Thailand sekitar 100, jadi kita perlu hormati apa yang mereka telah lakukan sejak beberapa tahun lepas, termasuk menjadi juara edisi lepas. Saya rasa mereka layak mendapat rasa hormat kita.

“Tetapi hormat bermakna kami akan melawan mereka sepenuhnya, jadi penuh hormat dan kekuatan penuh melawan Thailand. Jadi kami akan kekalkan DNA permainan dan gaya Malaysia bagi membuatkan penyokong bola sepak Malaysia bangga,” katanya pada sidang media praperlawanan di sini hari ini.

Malaysia mempamerkan gaya permainan bola sepak yang dinamik dan menarik ketika mengalahkan Singapura 4-1 di sini Selasa lepas, bagi melayakkan diri ke separuh akhir dengan menduduki tempat kedua Kumpulan B dengan Pan Gon menggambarkan ia prestasi terbaik pasukan kebangsaan di bawah kendaliannya.

Jurulatih dari Korea Selatan berusia 53 tahun itu berkata Gajah Perang secara tradisinya amat bagus ketika menyerang dengan pemain yang memiliki skil dan kebolehan individu yang baik, jadi kita perlu hormati cara mereka.

Sementara itu, Pan Gon kagum dengan kecekapan pemainnya yang cepat memahami arahan dan informasi baharu, sama ada berkaitan pasukannya ataupun lawan.

“Saya rasa pemain kita amat bijak, mereka cepat mengadaptasi, kami tidak dapat lakukan dengan banyak ketika berlatih, tetapi banyak ada komunikasi antara kami, tetapi mereka lakukan dengan baik apabila kami katakan sesuatu dan mereka dapat melakukannya.

“Saya penuh yakin, walaupun pasukan Thailand berbeza daripada pasukan lain, kami telah pun mempunyai perancangan dan tidak akan mempunyai masalah untuk dilaksanakan,” katanya sambil mengesahkan pemain pertahanan Ahmad Khuzaimi Piee tidak akan dapat diturunkan esok, kerana masih sedang pulih dari kecederaan.

Sementara itu, pemain tengah Brendan Gan yakin pasukannya akan berhadapan Thailand dengan mentaliti kemenangan seperti perlawanan sebelum ini, sambil mengharapkan sokongan padu penyokong bagi menaikkan semangat pemain, malam esok.

“Tentu sekali menang, itulah yang kami sentiasa mahukan tanpa mengira siapa pihak lawan, kami bermain untuk menang, gaya permainan kami ialah untuk menyerang dan jaringkan gol sebanyak yang boleh. Kami akan bermain lagi esok dan bermain dengan cara yang sama, bermain untuk menjaringkan gol.

“Bukit Jalil satu persekitaran yang berbeza, amat menarik untuk bermain di situ, akan meremang setiap kali bermain di situ, jadi ia akan jadi satu perlawanan yang menarik dan kami akan bermain di situ untuk menang dan diharapkan kami akan dapat lakukannya,” kata ketua pasukan Selangor berusia 34 tahun itu.

Untuk rekod, Malaysia menewaskan Thailand dengan peraturan gol di tempat lawan, selepas seri 0-0 di Bukit Jalil dan seri 2-2 di Bangkok pada separuh akhir edisi 2018, sebelum tewas 2-3 kepada Vietnam pada perlawanan akhir.

Selepas perlawanan pusingan pertama separuh akhir di Bukit Jalil, Harimau Malaya akan bertandang ke Bangkok untuk perlawanan timbal balik di Stadium Tammasat pada Selasa (10 Jan).

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button