info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Malaysia Tubuh Jawatankuasa Khas, Pantau Kesan Sampingan Penerima Vaksin COVID-19

44views

KUALA LUMPUR, 16 Feb — Kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa pakar khas yang bertanggungjawab menyiasat dan meneliti kesan sampingan dialami penerima vaksin COVID-19 di negara ini.

Penubuhan jawatankuasa itu adalah sebahagian daripada langkah pemantauan kesan sampingan atau kesan sampingan susulan imunisasi (AEFI), yang digariskan dalam dokumen Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menurut dokumen yang diterbitkan hari ini oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), jawatankuasa pakar khas itu akan turut menilai isu keselamatan berkaitan vaksin berkenaan.

“Pemantauan kesan sampingan dan AEFI akan dijalankan secara ‘enhanced surveillance’ (pemantauan diperketat), yang mana penerima vaksin akan diberi peringatan berjadual melalui aplikasi MySejahtera untuk melaporkan sebarang kesan dialami.

“Pelaporan AEFI juga boleh dibuat oleh petugas kesihatan melalui sistem sedia ada. Penyiasatan kesan yang serius akan dijalankan dengan teliti dan dinilai jawatankuasa khas ini,” jelas dokumen itu yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Dokumen berkenaan menjelaskan, kira-kira 10 kesan sampingan selepas suntikan antara yang kerap dilaporkan dialami penerima vaksin COVID-19, namun kesan sampingan itu hanya bersifat sementara.

Antara kesan sampingan yang kerap dilaporkan adalah sakit, bengkak atau kemerahan di tempat suntikan; penat; sakit kepala dan menggigil.

Kesan sampingan lain yang turut dilaporkan adalah sakit sendi, demam, loya, rasa tidak sihat, bengkak kelenjar limfa, serta kesan sampingan yang mungkin dilapor dari semasa ke semasa.

Source Link