Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaMalaysia ucap selamat tinggal pada Piala Uber 2022

Malaysia ucap selamat tinggal pada Piala Uber 2022

BANGKOK, 9 Mei (Bernama) — Satu lagi kekalahan. Satu lagi penyingkiran pada peringkat kumpulan.

Cabaran Malaysia pada Piala Uber 2022 berakhir selepas mereka ditunjukkan jalan keluar awal oleh tuan rumah, Thailand, berikutan kekalahan 1-4 pada perlawanan kedua Kumpulan C di Impact Arena, di sini hari ini.

Walaupun membuat beberapa ‘kejutan’ dalam skuad selepas mereka tewas kepada Denmark 2-3 pada perlawanan pembukaan semalam, strategi itu ternyata gagal dan tidak cukup untuk Malaysia menghidupkan semula peluang untuk layak ke suku akhir.

Bekas juara dunia remaja Goh Jin Wei yang mengantikan S. Kisona sebagai perseorangan pertama, bermula dengan baik dengan mengalahkan bekas pemain nombor satu dunia Ratchanok Intanon 21-14, pada set yang pertama.

Bagaimanapun pemain berusia 22 tahun itu yang sebelum ini tewas dua kali kepada Intanon, hilang haluan pada dua set berikutnya dan tewas 14-21, 15-21 kepada lawannya itu.

Pemain dari Pulau Pinang itu ketika ditemui selepas perlawanan menyatakan yang beliau gagal membalas kepercayaan yang diberikan pasukan kejurulatihan, yang meletakkan beliau sebagai peseorangan pertama hari ini, berikutan tewas kepada Intanon.

“Prestasi saya masih jauh dari semua aspek berbanding Intanon. Beliau amat pantas dan fleksibel dalam gelanggang,” kata pemain nombor 80 dunia, yang mahu cuba meningkatkan lagi rangking dunia beliau dalam masa terdekat.

Pasangan beregu nombor satu negara, Pearly Tan-M. Thinaah memberikan sedikit kegembiraan untuk Malaysia selepas mereka kembali untuk menang, selepas tewas set pertama 16-21 kepada pasangan Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai.

Pearly-Thinaah, pasangan ke-11 dunia, meningkatkan permainan dalam dua lagi set dan menang 21-19, 21-17 untuk menyamakan kedudukan Malaysia.

Thinaah ketika bercakap mengenai prestasi mereka, gembira untuk melihat rancangan mereka berjalan dengan baik pada perlawanan itu, dan gembira kerana dapat memberikan satu mata kepada Malaysia pada perlawanan yang berlangsung sehingga 71 minit.

Bagaimanapun perlawanan seterusnya, Juara Siri Antarabangsa Belanda Myisha Mohd Khairul walaupun bermain dengan baik pada set pertama, tewas 20-22 kepada Pornpawee Chochuwong.

Namun Myisha, 19, gagal mengulangi permainan baik pada set pertama, dan tewas mudah 10-21 kepada Pornpawee, dan memberikan mata kedua untuk Thailand.

Benyapa Aimsaard-Nuntakarn Aimsaard memberikan mata kemenangan kepada Thailand pada perlawanan keempat dengan mengalahkan pasangan Valeree Siow-Teoh Mei Xing, 21-9, 21-14.

Pada perlawanan kelima, walaupun Busanan Ongbamrungphan berhadapan tentangan daripada pemain muda negara Tan Zhing Yi, apabila menang dengan mata 21-19, namun dengan mudah menang pada set kedua 21-6 dan memberikan kemenangan 4-1 kepada Thailand.

Ini merupakan kemenangan kedua untuk Thailand selepas mereka mengalahkan Mesir 5-0 pada perlawanan pertama mereka, semalam.

Walaupun telah terkeluar, Malaysia yang kali terakhir layak ke pusingan lapan terbaik pada edisi 2010, akan bermain dalam perlawanan terakhir kumpulan dengan bertemu Mesir, esok.

Sementara itu dalam satu lagi perlawanan Kumpulan C, Denmark juga melayakkan diri ke suku akhir selepas mereka mengalahkan Mesir 5-0.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular