Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaMaloney bangga dengan keberanian anak buah walaupun tewas

Maloney bangga dengan keberanian anak buah walaupun tewas

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

HANOI, 20 Mei (Bernama) — Ketua jurulatih skuad bola sepak Bawah 23 Tahun (B-23) Brad Maloney bangga dengan anak buahnya yang tidak gentar berjuang habis-habisan walaupun tewas ke atas juara bertahan Vietnam pada aksi separuh akhir temasya Sukan SEA ke-31 di Stadium Viet Tri, wilayah Phu Tho malam tadi.

Maloney berkata pasukannya telah memberikan segalanya untuk cuba mengatasi tuan rumah yang dibimbing Park Hang Seo dari Korea Selatan itu.

“Pertama sekali saya amat berbangga dengan pemain saya, mereka bekerja keras, bermain dengan hati dan memberikan segala apa yang mereka ada. Seperti yang kita sedia maklum, kami mempunyai masa kurang sehari untuk pemulihan dan perjalanan antara perlawanan ini dengan sebelumnya.

“Jadi untuk pemain turun dan bermain selama 120 minit menentang pasukan terbaik dalam perlawanan ini dan hanya terlepas satu gol…saya sangat berbangga dengan mereka,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas perlawanan tersebut.

Malaysia tewas 0-1 dalam aksi itu dengan penyerang Nguyen Tien Linh menjadi wira Vietnam selepas menanduk masuk jaringan kemenangan pada minit ke-111 sekali gus melayakkan mereka mara ke final.

Maloney berkata walaupun berdepan dengan kepantasan dan keagresifan dipamerkan Vietnam selama 120 minit, anak buahnya tidak tunduk kepada tekanan dan berputus asa.

Beliau berkata tersingkir daripada pertandingan selepas gawang dibolosi pada penghujung perlawanan adalah sesuatu yang amat mendukacitakan.

“Ia sukar untuk diterima tetapi pada sama kami faham Vietnam adalah pasukan terbaik dalam perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu, Maloney mengakui aksi malam tadi menjadi lebih sukar apabila beberapa pemain mengalami kecederaan dengan pemain pertahanan Harith Haiqal Adam Afkar yang beraksi cemerlang sepanjang permainan terpaksa dikeluarkan.

“Bukan mudah kehilangan pemain utama, jelas beliau (Harith Haiqal) menjadi ketua di barisan belakang dan mengatur pemain di hadapannya.

“Penjaga gol kami (Muhammad Azri Ab Ghani) juga cedera dari awal permainan dan seorang atau dua pemain terpaksa digantikan. Ia tidak ideal tetapi saya fikir pemain yang menggantikan mereka melakukan yang terbaik,” katanya.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia akan bertemu Indonesia yang tewas kepada Thailand pada satu lagi aksi separuh akhir semalam, dalam perlawanan penentuan pingat gangsa yang akan berlangsung di Stadium Nasional My Dinh di sini pada Ahad.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular