Selasa, Mei 17, 2022
HomeBeritaMaloney gembira kemenangan ke atas Laos cerahkan peluang skuad negara

Maloney gembira kemenangan ke atas Laos cerahkan peluang skuad negara

NAM DINH (Vietnam), 11 Mei (Bernama) — Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Kebangsaan Bawah 23 tahun (B-23) Brad Maloney gembira dengan tiga mata yang diperoleh hasil kemenangan Malaysia ke atas Laos malam ini yang mencerahkan peluang pasukan itu untuk mara ke separuh akhir acara bola sepak lelaki Sukan SEA Ke-31.

Kemenangan 3-1 ke atas Laos di Stadium Thien Truong di sini merupakan kemenangan kedua berturut-turut Malaysia yang menyaksikan Skuad Brad Maloney kini mendahului Kumpulan B dan mengutip enam mata.

Dalam sidang media selepas perlawanan, Maloney berkata kemenangan ini memberikan impak posiitf kepada pasukannya dalam menghadapi baki perlawanan berhadapan Singapura, Sabtu ini dan Kemboja pada 16 Mei.

“Sudah tentu kami berpuas hati dengan tiga mata ini. Laos tidak memberi laluan mudah dan mereka memiliki beberapa pemain berkualiti tetapi ia baik untuk kami untuk melangkah setapak lagi ke hadapan dalam kejohanan ini dan kami berjaya mendapat keputusan yang diperlukan,” katanya.

Pada aksi malan ini, penyerang muda  KV Kortrijk Luqman Hakim Shamsudin menjaringkan dua gol masing-masing pada minit ke-36 dan ke-67 sementara satu gol lagi dijaringkan Muhamad Syahir Bashah pada minit ke-43.

Laos mendapat gol sagu hati pada minit ke-85 menerusi pemain gantian Visith Bounpaserth.

Sementara itu Ketua Jurulatih Laos Hans Michael Weiss merasakan pasukan tidak bernasib baik kerana mengharungi tiga perlawanan dalam lima hari sementara Malaysia mempunyai masa yang cukup  untuk persiapan menghadapi perlawanan.

“Kami kekurangan tenaga dan kebanyakannya adalah gol  mudah tetapi sememangnya Malaysia menguasai perlawanan tetapi kurang mencipta peluang bagaimanapun mereka berhak menang tanpa ragu, kalau boleh saya mahukan pasukan saya dalam keadaan segar kerana mereka sudah menghadapi tiga perlawanan.

Ia berbeza kerana kami pernah berhadapan dengan mereka sebelum ini dan saya tahu serba sedikit bagaimana menghadapinya tetapi kami tidak bertenaga hari ini, pemain terbaik saya nombor 17 yang bermain dengan cemerlang ketika menentang Kemboja tidak dapat diturunkan hari ini dan juga dua atau tiga lagi pemain yang tidak bersedia untuk beraksi selama 90 minit, katanya.

Malaysia terus mencari peluang memastikan satu tempat ke separuh akhir apabila bertemu Singapura, Sabtu ini dan mengakhiri perlawanan kumpulan bertemu Kemboja pada 16 Mei.

Kedua-dua perlawanan dijadualkan berlangsung di venue sama.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular