Bencana AlamBerita

Mangsa Banjir Yan Dan Merbok Dikecualikan Bayaran Ganti Lesen Kenderaan, Lesen Memandu

PUTRAJAYA, 3 Sept  — Mangsa tragedi banjir di Yan dan Merbok, Kedah akan diberi pengecualian pembayaran yuran penggantian Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong yang mengumumkan perkara itu berkata pengecualian bayaran itu adalah bagi lesen yang hilang dan cukai jalan yang rosak akibat bencana banjir.

“Kita sampaikan rasa simpati kepada mangsa banjir di Yan dan Merbok dan banyak aduan diterima mengenai kehilangan, kerosakan lesen dan sebagainya.

“Jadi, pihak pengurusan Kementerian Pengangkutan (MOT) bersetuju untuk memberikan pengecualian bayaran gantian khas bagi penduduk di Yan dan Merbok yang terkesan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa banjir yang ingin mendapatkan pengecualian tersebut perlu membuat laporan polis mengenai kehilangan dokumen sebelum berurusan di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Wee berkata beliau juga telah memaklumkan arahan pengecualian berkenaan kepada kaunter cawangan JPJ berhampiran Yan dan Merbok.

Kadar bayaran yang ditetapkan JPJ bagi penggantian lesen memandu ialah RM20, bayaran salinan cukai jalan bagi motosikal (RM20) dan kereta (RM50).

Pada 18 Ogos lepas, fenomena kepala air dari Gunung Jerai telah meragut enam nyawa dan ratusan penduduk dari beberapa kampung di Yan dilanda banjir lumpur yang turut menjejaskan kawasan Merbok di daerah Kuala Muda.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button