info@rakyat.my
Wednesday, June 16, 2021
Berita

Masalah Mental Bakal Bertambah Akibat Pandemik

27views

KESIHATAN mental dijangka menjadi masalah kesihatan kedua paling serius selepas penyakit jantung bagi rakyat Malaysia tahun ini.

Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) terkini, tiga daripada setiap 10 dewasa berusia 16 tahun ke atas akan menderita masalah kesihatan mental.

Isu ini kian meruncing apabila talian hotline disediakan Mercy Malaysia dan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) bagi sesiapa terjejas dengan wabak COVID-19 menunjukkan 46.8 peratus panggilan mempunyai masalah psikologi.

Apa gagal ditanggapi kebanyakan orang ialah kesan masalah kesihatan mental mempunyai impak kepada prestasi ekonomi negara. Isu kesihatan mental di tempat kerja dianggarkan menelan belanja RM14.46 bilion pada 2018.

Semua ini sejajar penemuan Kaji Selidik EMIR Research untuk suku ketiga 2020, iaitu 72 peratus rakyat Malaysia bimbang kesihatan mental mereka. Kajian sama mendapati Malaysia mencapai skor 0.79 dalam Indeks Kerisauan Nasional (NWI), sekali gus melangkah ke tahap kebimbangan maksimum, hanya satu takuk di bawah tahap tidak sihat 0.80 kebimbangan maksimum.

Oleh itu, kita dapat merumuskan perasaan bimbang terhadap masalah sosioekonomi disebabkan pandemik COVID-19 bagi purata rakyat Malaysia kian meruncing.

Kesan COVID-19 menembusi setiap lapisan masyarakat dari semua sudut boleh difikirkan. Walaupun tujuan sekatan pergerakan sosial adalah untuk melindungi daripada jangkitan, ia secara tidak sengaja membawa risiko memburukkan lagi kesihatan mental.

Kajian diterbitkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) mendapati golongan berpendapatan rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental dan penyakit kronik lebih tinggi.

Trend sama didapati melalui data kesihatan mental dalam kajian Ketidaksamaan Sosial dan Kesihatan Malaysia.

Golongan berpendapatan paling rendah mempunyai kadar masalah kesihatan mental tertinggi dalam kalangan orang dewasa dan kanak-kanak.

Justeru, majikan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kesihatan mental pekerja mereka adalah seimbang kerana kebanyakan orang menghabiskan satu pertiga hari dengan pekerjaan.

Majikan boleh memberikan sokongan melalui program seperti membenarkan percutian, menyokong aktiviti sosial maya dan menggalakkan keseimbangan kerja-kehidupan untuk memastikan pekerja mereka sihat dari segi fizikal dan mental.

Mereka juga perlu mewujudkan persekitaran bekerja sihat dan menyediakan khidmat kaunseling untuk pekerja mereka membincangkan sebarang masalah serta menyelesaikan masalah atau mencari cara lebih baik menguruskannya.

Ini tentu akan meningkatkan produktiviti pekerja dan mengurangkan kos berkaitan ketidakhadiran, pampasan serta tuntutan perubatan.

Terdapat juga keperluan mengekalkan komunikasi antara majikan dengan pekerja untuk meningkatkan persefahaman. Apabila pekerja mengalami tekanan atau kecewa, majikan perlu mengamalkan kemahiran mendengar yang baik.

Negara kita kekurangan ahli psikologi klinikal agak ketara hingga hanya sedikit orang mendapat khidmat kesihatan mental disediakan kerajaan.

Pakar kesihatan mental di hospital kerajaan juga terhad. Angka ini sangat rendah dengan hanya seorang pakar psikiatri bagi setiap 100,000 orang dengan perkhidmatan kesihatan awam menggajikan hanya 15 pakar psikologi klinikal pada 2018.

Oleh itu, ada keperluan mendesak meningkatkan sumber daya manusia, termasuk profesional daripada bidang akademik atau klinikal dan keupayaan infrastruktur memenuhi keperluan masa depan.

Kerajaan boleh membina rangkaian kesihatan mental lebih baik dalam masyarakat, menjalankan kerja pemulihan dan pencegahan komuniti serta meningkatkan keupayaan pesakit untuk kembali kepada masyarakat.

Contohnya, bilangan klinik kesihatan dan pasukan mudah alih untuk menawarkan perkhidmatan berasaskan rumah kepada pesakit kesihatan mental perlu ditambah.

Kerajaan juga perlu perkukuhkan perkhidmatan kaunseling dalam talian dengan mewujudkan pusat krisis akut 24 jam lebih bersepadu yang dapat berkomunikasi secara langsung dengan perkhidmatan kesihatan mental serantau. Ini termasuk meningkatkan akses dari kawasan terpencil dengan merapatkan jurang perkhidmatan.

Penulis, Jamari Mohtar dan Tam Mei Si merupakan Penyelidik di EMIR Research