Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaMATRADE disenarai pendek untuk Anugerah Organisasi Penggalakan Perdagangan Dunia 2022

MATRADE disenarai pendek untuk Anugerah Organisasi Penggalakan Perdagangan Dunia 2022

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) disenarai pendek untuk Anugerah Organisasi Penggalakan Perdagangan Dunia (WTPO) 2022 oleh Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC) yang berpangkalan di Geneva, sebuah agensi bersama Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

MATRADE merupakan antara empat finalis yang dicalonkan dalam kategori ‘Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik’ atas inisiatifnya menganjurkan edisi maya Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-17 dari 9 Sept hingga 31 Dis, 2021.

Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata sejak pandemik COVID-19 melanda, MATRADE telah mengambil inisiatif untuk mempercepat agenda pendigitalan dalam penggalakan dan pembangunan eksport dengan memanfaatkan pelbagai platform dalam talian.

“MIHAS 2021 adalah bukti kejayaan MATRADE membantu syarikat Malaysia dalam eksport melalui pendigitalan.

“Menerusi pencalonan bagi satu daripada beberapa kategori untuk Anugerah WTPO, MATRADE diiktiraf atas keupayaannya dalam memperkukuh daya saing perdagangan Malaysia di peringkat global,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata MIHAS ke-17 telah melakar rekod jualan eksport tertinggi baharu apabila mencatatkan RM2.13 bilion daripada komponen mesyuarat perniagaan dalam talian dan pameran maya dengan penyertaan perniagaan tempatan dan antarabangsa.

Selain kategori ‘Penggunaan Teknologi Maklumat Terbaik’, dua kategori lain iaitu ‘Penggunaan Perkongsian Terbaik’ dan ‘Inisiatif Terbaik bagi Memastikan Perdagangan Inklusif dan Mampan’ juga disaingi oleh Organisasi Penggalakan Perdagangan (TPO) lain.

Pemenang bagi setiap kategori akan diumumkan pada majlis anugerah itu yang akan berlangsung di Accra, Ghana pada 17 Mei, 2022.

Sebagai sebahagian daripada majlis anugerah itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE (Pembangunan Pengeksport), Abu Bakar Yusof, akan melakukan pembentangan bertajuk ‘Relevance of Sustainability to International Trade: The Journey Forward’ (Hubung Kait Kemampanan dengan Perdagangan Antarabangsa: Perjalanan Ke Hadapan).

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular