BeritaEkonomiNiaga

Maxis Peruntuk RM5 Juta Bawah Program Untuk Sokong Projek Inovatif

KUALA LUMPUR, 2 Sept — Penyedia perkhidmatan digital dan penyelesaian sambungan Maxis telah memperkenalkan Maxis Awards untuk mengiktiraf serta memperkasakan syarikat Malaysia yang inovatif yang membantu negara dengan mendorong perubahan positif.

Ketua Penjenamaan dan Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong berkata program ini direka untuk menyokong dan mendorong idea-idea yang berimpak dalam mempercepatkan kemajuan negara, dengan RM5 juta diperuntukkan ke atas pembangunan dan rangsangan ke atas 12 projek dalam negara ini untuk 12 bulan akan datang.

“Tujuan kami adalah untuk mempercepatkan dan memperkukuhkan idea serta projek yang akan membolehkan masyarakat Malaysia maju, selain memberikan inspirasi yang lebih berimpak kepada komuniti,” katanya dalam satu sidang media maya hari ini.

Pemenang anugerah itu akan dipilih berdasarkan tiga kriteria utama iaitu nilai untuk komuniti, inovatif dan berkemampuan teknologi, yang mana, perusahaan-perusahaan ini akan menerima geran dan kepakaran penyelesaian Maxis Business untuk membantu menghidupkan idea mereka.

“Kami mencari idea dan inovasi yang bukan hanya baharu tetapi juga melibatkan penggunaan teknologi yang mantap dan yang paling penting, berimpak serta sejauh mana manfaatnya kepada masyarakat,” kata Tai.

Program penghargaan itu dilaksanakan dengan kerjasama Gen.T, platform oleh Tatler Asia.

Sementara itu, untuk mewujudkan program yang lestari, program penghargaan ini juga akan dilakukan dengan kerjasama individu lain dan organisasi yang mempunyai falsafah yang sama.

“Melalui pendekatan perkongsian untuk mencari dan membuka jalan bagi wira-wira ini, kami meletakkan kekuatan masing-masing ke arah tujuan yang sama.

“Sekarang merupakan masa yang terbaik untuk memperkenalkan anugerah ini kerana masyarakat sedang berhadapan dengan cabaran dan perubahan yang berkaitan dengan wabak,” kata Tai lagi.

Menurutnya lagi, Maxis berhasrat untuk menggerakkan usaha ini ke arah inisiatif tahunan.

Untuk maklumat, lawati https://www.maxis.com.my/en/maxis-awards/.

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button