Perniagaan

McDonald’s diiktiraf pembayar zakat LZS

132views

Kuala Lumpur: McDonald’s Malaysia menjadi restoran makanan segera pertama di Malaysia menerima sijil pengiktirafan pembayar zakat korporat Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Naib Presiden Sumber Manusia dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia, Azhar Darbi berkata, secara keseluruhan pada 2019, pihaknya membayar zakat perniagaan berjumlah RM1.4 juta yang diagihkan secara sama rata untuk 14 negeri di negara ini.

Katanya, untuk Selangor pula, pihaknya membayar zakat RM101,000 yang disalurkan kepada LZS.

“Sijil Pembayar Zakat Korporat yang diterima ini adalah pengiktirafan amat besar dan semestinya mampu mengukuhkan lagi keyakinan rakyat Malaysia terhadap jenama McDonald’s.

“Menghulurkan bantuan atau sumbangan adalah sesuatu yang cukup dekat di hati kami semua di McDonald’s Malaysia, sama ada menerusi usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami atau pembayaran zakat.

“Selain memenuhi tuntutan agama, kami juga melihat sumbangan zakat ini sebagai usaha berterusan McDonald’s Malaysia untuk membantu golongan masyarakat yang memerlukan di mana ia salah satu nilai teras McDonald’s Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Pembayar Zakat Korporat LZS di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop.

Azhar berkata, McDonald’s Malaysia juga membiayai 62 anak asnaf di seluruh negara sebagai perantis dalam menjalani Program Perantis Vokasional McDonald’s Malaysia.

“Sebaik sahaja tamat latihan, mereka akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 yang diiktiraf oleh Kementerian Sumber Manusia dan seterusnya layak mengembangkan lagi kerjaya mereka di McDonald’s atau dalam industri perkhidmatan makanan di Malaysia.

“Sejak program ini diperkenalkan pada 2018, kira-kira 1,200 belia sudah dan sedang mengikuti Program Perantis Vokasional McDonald’s.

“Kos untuk setiap perantis kira-kira RM30,000 ditanggung sepenuhnya, kira-kira RM30,000 dan ia merangkumi elaun sara diri sebanyak RM1,200 sebulan, tempat tinggal dan makan minum pada setiap hari latihan,” katanya.
Source link

Leave a Response