Berita

MCMC Kesal Penyedia Platform Media Sosial Lambat Banteras Akaun Palsu

199views

KUALA LUMPUR, 24 Mei — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kesal dengan penyedia perkhidmatan media sosial kerana gagal mengambil tindakan pantas terhadap laporan mengenai akaun palsu yang dikemukakan suruhanjaya berkenaan.

MCMC yang meluahkan kekecewaan itu dalam satu kenyataan menegaskan pihak penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, WhatsApp dan Telegram lambat bertindak terhadap akaun palsu terutama bagi tujuan penipuan.

“Kelewatan tindakan berhubung perkara ini dibimbangi akan merencatkan usaha MCMC dalam melindungi pengguna media sosial daripada akaun-akaun palsu terutamanya yang menyamar dan menyalahgunakan identiti individu dan entiti lain, yang boleh menyebabkan kerugian wang ringgit kepada pengguna,” kata MCMC.

Dalam kenyataan sama, MCMC menegaskan oleh kerana platform sedemikian yang tidak dilesenkan kerana beroperasi di luar Malaysia, MCMC amat bergantung kepada tindakan yang dibuat oleh pihak penyedia platform dalam menangani isu tersebut.

Justeru, MCMC menggesa pihak penyedia platform untuk lebih bertanggungjawab, responsif dan bertindak pantas terhadap setiap laporan yang dikemukakan oleh suruhanjaya tersebut.

MCMC secara tegas menyatakan pihak penyedia platform secara langsung mempunyai tanggungjawab bagi memastikan platform yang dihoskan pihak mereka adalah selamat kepada pengguna.

“Tindakan pantas yang diambil adalah penting dan perlu demi melindungi kepentingan serta keselamatan pengguna,” katanya.

Dalam pada itu, MCMC sekali menasihatkan pengguna supaya berwaspada, kekal selamat dan menjadi seorang pengguna bertanggungjawab yang mengamalkan penggunaan internet secara berhemah serta mengelak menjadi mangsa kepada akaun palsu yang menyalahgunakan rangkaian media sosial.– BERNAMA

Source link