MCMC laksana perubahan struktur perakuan pengendali radio amatur

PUTRAJAYA, 30 Dis (Bernama) — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melaksanakan perubahan kepada struktur perakuan pengendali radio amatur berkuat kuasa 1 Jan 2023 bagi memastikan perakuan di Malaysia sejajar dengan praktis diamalkan di negara lain.

MCMC dalam kenyataan memaklumkan perubahan struktur perakuan itu melibatkan format peperiksaan, silibus peperiksaan, syarat kelayakan untuk menduduki peperiksaan dan pengenalan kepada Kelas C.

“Ia turut melibatkan ujian Kod Morse untuk menaik taraf ke Kelas A digantikan dengan peperiksaan pilihan jawapan berkomputer dan penggunaan frekuensi dan had kuasa pancaran bagi setiap kelas.

“Perubahan kepada struktur perakuan pengendali radio amatur itu adalah selaras dengan pindaan kepada Peraturan-peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 iaitu bagi peruntukan yang berkaitan dengan radio amatur,” menurut kenyataan itu.

MCMC memaklumkan perubahan itu juga bertujuan untuk menggalakkan minat kalangan pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui radio amatur dan menjurus kepada peningkatan pengendali radio amatur yang dapat membantu ketika bencana.

Orang awam dinasihatkan untuk merujuk kepada ‘Guidelines for Amatuer Radio global practices, Service in Malaysia (3rd Edition)’ untuk mendapatkan maklumat berkenaan struktur baharu itu.

Selain itu, MCMC memaklumkan pihaknya juga telah menerbitkan ‘Handbook on Amateur Radio (1st Edition)’ sebagai bahan rujukan tambahan kepada orang awam yang berminat untuk menduduki peperiksaan radio amatur.

Bank soalan telah diwujudkan oleh MCMC bagi ketiga-tiga kelas radio amatur untuk memberi pendedahan kepada orang awam berkenaan dengan contoh-contoh soalan peperiksaan di samping membantu calon untuk membuat persediaan awal.

Ketiga-tiga dokumen itu boleh didapati di laman sesawang rasmi MCMC iaitu https://mcmc.gov.my/en/amateur-radio-operatorcertification dan pertanyaan lanjut berhubung dengan urusan permohonan untuk menduduki peperiksaan radio amatur boleh diajukan kepada e-mel di sems.admin@mcmc.gov.my.

— BERNAMA

Sumber

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button