Uncategorized

MDEC lancar Festival Kreativiti Digital Malaysia 2021

CYBERJAYA, 20 Sept — Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah melancarkan Festival Kreativiti Digital Malaysia 2021 (MYDCF) yang untuk pertama kalinya, menggabungkan inisiatif animasi Kre8tif! dan persidangan permainan video LEVEL UP KL menjadi satu acara tunggal.

MYDCF 2021 akan menampilkan beberapa program bagi menarik penyertaan profesional industri seperti persidangan industri, Program Hubungan Perniagaan, SEA Game Jam dan bengkel. Pendaftaran untuk program ini boleh dibuat melalui https://mdec.my/mydcf/.

Naib Presiden MDEC (ekosistem teknologi dan globalisasi) Gopi Ganesalingam dalam satu kenyataan memberitahu MYDCF 2021 maya ini akan bermula dengan bahagian persidangan serta rangkaian (sehingga 30 September), yang disasarkan kepada profesional dalam industri kandungan kreatif digital.

Ini akan disusuli dengan Gamified Expo, acara yang terbuka kepada orang ramai untuk mempamerkan persembahan kandungan kreatif digital terbaik di rantau ini menjelang November nanti, katanya.

Kre8tif! adalah pemecut kandungan untuk pemula niaga kecil dan sederhana yang terlibat dalam animasi bagi menyokong dan mempercepatkan perniagaan kandungan kreatif mereka, sementara LEVEL UP KL Indie Pitch membolehkan pemaju permainan mempromosikan projek mereka kepada pelabur antarabangsa.

Untuk industri animasi, Elevator Pitch berfungsi sebagai platform yang serupa bagi studio animasi untuk menyampaikan projek terkini mereka kepada penyiar dan pelabur.

Satu lagi penambahan baharu tahun ini adalah Blockchain Bootcamp, yang berfungsi sebagai medan perkongsian teknologi terkini dalam ekosistem permainan blok rantai dan token tidak mudah alih (NFT), katanya.

Menurut Gopi, dengan pasaran global bernilai US$432 bilion (US$1 = RM4.19) pada 2020, industri kandungan kreatif digital memainkan peranan penting untuk pembangunan ekonomi Malaysia, seperti yang dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

— BERNAMA

Source link

Facebook Comments Box

Artikel Berkaitan

Back to top button