Selasa, Mei 17, 2022
HomeBeritaMedia baharu: Media konvensional Jangan Rasa Terancam, Belajar Adaptasi.

Media baharu: Media konvensional Jangan Rasa Terancam, Belajar Adaptasi.

KUCHING, 8 Mei — Pengamal media konvensional tidak harus berasa terancam dengan kemunculan media baharu sebaliknya perlu belajar untuk mengadaptasi seiring dengan perkembangan semasa.

Penasihat Editorial (Politik) Utusan Sarawak, William Chan berkata buat masa ini, media konvensional seperti akhbar sedang diasak dengan begitu hebat oleh perubahan yang dibawa oleh teknologi dan digitalisasi.

Beliau berkata ini merupakan evolusi kewartawanan dan penggiat media konvensional harus segera belajar menyesuaikan diri.

“Keadaan agak suram ketika ini (bagi media konvensional). Tabiat pengguna dalam mendapatkan berita sudah berubah. Mereka lebih gemar mendapatkannya dengan lebih pantas, tiada lagi tunggu dan baca akhbar pada waktu pagi.

“Daripada berasa terancam, sesuaikan diri dengan perubahan dan timba ilmu baharu ini sedalam mungkin,” katanya ketika menjadi ahli panel Seminar dan Bengkel Kewartawanan 2022 anjuran Pewarta (Pertubuhan Wartawan Bebas Kuching) di sini hari ini.

Bertemakan ‘Pertemuan Minda: Bagaimana memajukan kewartawanan dan industri akhbar di Sarawak,’ bengkel itu turut menampilkan wartawan veteran Toman Mamora dan James Ritchie.

William juga berkata dunia kewartawanan kini amat berbeza jika dibandingkan dengan waktu beliau memulakan kerjaya pada 1989 terutama dari segi penghantaran berita.

“Ketika saya memulakan kerjaya dalam bidang kewartawanan pada 1989 di Miri, masa itu pemberita masih guna mesin taip dan selepas selesai menyiapkan berita, kita akan cetak dan hantar kepada staf kita di lapangan terbang untuk menghantar berita tersebut.

“Akhbar kini dicetak di dalam halaman yang lebih sedikit berbanding dulu yang lebih tebal, sekarang makin nipis. Hal ini disebabkan laman sesawang berita yang semakin berkembang,” katanya.

Bernama

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular