info@rakyat.my
Monday, June 21, 2021
Berita

Mempersenda Guru Yang Mengajar Di Saluran DidikTV Termasuk Kategori Buli Siber – KKMM

89views

KUANTAN, 20 Feb — Tindakan individu mempersenda seorang guru ketika mengajar di saluran DidikTV KPM boleh dianggap sebagai buli siber, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana guru terbabit hanya menjalankan tanggungjawab mendidik pelajar dan bukannya seorang pelakon, malah tiada latihan asas dalam penggambaran sehingga membolehkannya dikecam.

Susulan itu, katanya, akta anti buli siber perlu diwujudkan bagi menangani masalah yang berlaku seperti ini kerana tindakan berkenaan boleh menyebabkan mangsa mengalami kemurungan, selain pernah berlaku kejadian bunuh diri yang dipercayai berpunca daripada buli siber.

“Tidak wajar untuk kita marah kepada Kementerian Pendidikan (KPM) kerana saluran DidikTV KPM masih baharu dan sudah pasti ada kelemahan. Apa yang dilakukan individu itu adalah buli siber.

“Bagaimanapun, ramai mangsa buli tidak membuat laporan kerana tidak mengetahui hak mereka yang dibuli, menyebabkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) tidak mengetahui jumlah sebenar mereka yang menjadi mangsa kegiatan itu.

“Kita ada undang-undang seperti Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Kanun Keseksaan, namun berkaitan buli siber, kajian KKMM dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU) sebelum ini mendapati, lebih 80 peratus pengamal undang-undang berpendapat kita memerlukan undang-undang khusus bagi buli siber.

“KKMM kini sedang menyiapkan kertas Kabinet untuk mendapatkan keputusan dasar, selain sudah memulakan draf awal rang undang-undang anti buli siber, supaya ia dapat dipercepatkan sebaik saja Parlimen mula bersidang nanti,” katanya selepas menyampaikan sumbangan dana Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kepada 46 sekolah di kawasan Parlimen Indera Mahkota di Pejabat Parlimen Indera Mahkota, di sini, hari ini.

Semalam, tindakan seorang penyampai radio Hitz FM Sarawak, Muhammad Yusuf Shukri, 29, atau DJ Yusuf memuat naik video di aplikasi TikTok mempersenda cara sebutan bahasa Inggeris seorang guru wanita mengundang kecaman.

Penyampai radio itu memuat naik video sebagai maklum balas kepada sebutan bahasa Inggeris guru wanita sambil memaparkan reaksinya ketawa berdekah-dekah, mencetuskan kemarahan netizen yang turut mendesak stesen radio Hitz FM Sarawak memecat Muhammad Yusuf.

Susulan itu, Muhammad Yusuf tampil membuat permohonan maaf dan turut meminta bantuan secara terbuka supaya dia dapat dihubungkan dengan guru itu bagi membolehkannya memohon maaf atas sikapnya itu.

Bagaimanapun, Muhammad Yusof digantung tugas serta-merta menerusi kenyataan dikeluarkan wakil pengurusan stesen radio itu, semalam.

Pengurus Besar Astro Radio East Malaysia, Hafiz Nizamuddin berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu, selain memohon maaf atas perilaku penyampai terbabit.

Sementara itu, dalam usaha menambah baik DidikTV KPM, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, kementeriannya bersedia bekerjasama dan berkongsi kepakaran dengan KPM daripada segi penyediaan kandungan.

Katanya, walaupun DidikTV KPM bukan daripada saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM), pihaknya bersedia membantu melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Kita ada kepakaran yang boleh bantu menambah baik saluran DidikTV KPM,” katanya.

Source Link