info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Menaikan Kompaun Tidak Menjamin Kepada Kepatuhan PKP – Pakar

91views

KUALA LUMPUR, 31 Jan — Tindakan menaikkan kompaun bukan penyelesaian, sebaliknya hanya meningkatkan protes serta ketidakpatuhan orang ramai yang sekian lama ‘terkurung’ akibat pandemik COVID-19 terhadap prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pakar epidemiologi, Prof Madya Dr Mohd Rohaizat Hassan, berkata langkah itu tertakluk kepada kerajaan, namun ia menimbulkan lebih banyak kesan buruk berbanding baik.

Beliau berkata, walaupun bermatlamat untuk meningkatkan kepatuhan orang ramai terhadap SOP, dalam situasi kini, COVID-19 sudah berada dalam komuniti dengan sebilangannya tidak diketahui punca jangkita, sekali gus mewujudkan terlalu banyak kluster.

“Maka, lebih banyak persoalan akan dibangkitkan masyarakat sama ada langkah itu benar-benar akan berkesan memutuskan rantaian jangkitan atau sebaliknya.

“Jadi yang penting sekarang, selain penguatkuasaan, pihak berwajib seharusnya lebih memberi penekanan pendidikan kepada masyarakat serta pemahaman jelas berkaitan pelaksanaan PKP,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata sudah tiba masanya nilai kompaun kerana ingkar PKP dinaikkan susulan peningkatan ketara kes COVID-19 di negara ini dengan setiap minggu ribuan saman dikeluarkan pihaknya yang kebanyakan membabitkan kesalahan tiada penjarakan fizikal, rentas negeri dan daerah.

Dr Mohd Rohaizat yang juga Ketua Jabatan Kesihatan Masyarakat, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan (UKM), berkata, ketidakpatuhan SOP dan ingkar PKP berpunca daripada faktor ‘kelesuan pandemik’ berikutan ramai mula bosan dan mengambil pendekatan putus asa terhadap risiko penularan COVID-19.

“Sedangkan realitinya penularan jangkitan di tempat kerja dilihat sebagai punca peningkatan kes dan pihak berkuasa seharusnya menumpukan kepada penguatkuasaan dan pemantauan di pejabat, industri, kilang, tapak binaan dan pejabat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, sebaiknya kekeliruan masyarakat terhadap PKP perlu diberi perhatian kerana masyarakat masih terpinga-pinga berikutan beberapa pengumuman yang dilihat tidak selari dengan situasi kes semasa COVID-19 dalam negara.

Bagi Penasihat Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Salawati Mat Basir, berkata isu membabitkan denda dan ringgit adalah perkara sensitif kepada masyarakat biarpun ia bertujuan mendidik.

“Memang dari segi kebaikan ia bertujuan mendidik tetapi tidak semestinya dengan menaikkan kompaun boleh memutuskan rantaian jangkitan kerana ribuan kes baharu direkodkan setiap hari biarpun ketika dalam tempoh PKP.

“Ini hanya akan mewujudkan lebih banyak persepsi negatif. Bagi saya, lebih baik diberikan nasihat dan penjelasan dan jika benar-benar kesalahan itu dilakukan, baru ambil tindakan.

“Rakyat perlu diberi penerangan dan kesedaran untuk mencegah penularan dan sudah tentu polis mempunyai garis panduan, situasi yang mereka boleh kompaun dan jelas, menaikkan denda bukan waktu sesuai untuk masa sekarang,” katanya.

Sementara itu, pakar undang-undang UKM, Prof Datin Dr Faridah Jalil, berpendapat, kompaun memang boleh dinaikkan hingga RM3,000 tetapi pelaksanaannya perlu dilakukan berhati-hati dan dikenal pasti keupayaan kewangan serta latar belakang pesalah.

“Mereka ini perlu dinilai apakah berniat dengan sengaja melanggar atau terdapat keperluan mendesak hingga perintah tidak dipatuhi.

“Singapura mengenakan denda $10,000 (RM30,415) atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Ia bertujuan meningkatkan kepatuhan disebabkan keupayaan kewangan yang terhad,” katanya.

Source Link