Berita

Mengembalikan Reputasi PDRM Adalah Cabaran Baharu KPN

149views

KUALA LUMPUR, 7 Mei — Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, bertekad melakukan penambahbaikan terhadap setiap pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengembali serta menaikkan semula reputasi pasukan itu.

Beliau berkata, usaha itu penting berikutan PDRM didapati menjadi sasaran pandangan atau kenyataan negatif oleh orang ramai sejak kebelakangan ini.

“Suatu masa dulu, setiap warga polis diangkat dan dijulang atas pelbagai jasa serta budi dicurahkan mereka. Namun sejak beberapa bulan lalu, saya melihat pasukan ini dikeji serta dicaci, dan ini adalah cabaran pertama saya.

“Saya perlu melakukan penambahbaikan terhadap setiap pegawai dan anggota dalam usaha mengembali serta menaikkan semula reputasi pasukan PDRM.

“Reputasi tidak baik bukan saja menghakis kepercayaan masyarakat tetapi juga menjatuhkan moral pegawai serta anggota yang sentiasa berdepan dengan orang ramai,” katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, semalam.

Malah, Acryl Sani berkata, ada segelintir pihak masih berterusan mencemuh walaupun pasukan itu menjalankan tugas penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan.

Tambahan pula, beliau menjelaskan, hanya segelintir petugas PDRM terbabit kes kesalahan dan pasti akan dikenakan tindakan ataupun hukuman sewajarnya.

Sambil berharap komuniti memandang polis sebagai sebahagian daripada mereka, beliau berkata, kerjasama antara PDRM dengan masyarakat adalah kunci utama kepada keselamatan, keharmonian serta keamanan di negara ini.

“Hubungan PDRM dengan orang ramai memang tidak dapat dinafikan dan sentiasa saling memerlukan. Pegawai dan anggota polis juga datang daripada sistem masyarakat. Mereka memang sentiasa berinteraksi dengan masyarakat.

“Saya memahami rakyat melihat polis sebagai satu pengharapan untuk permasalahan yang mereka hadapi supaya dapat diselesaikan.

“Justeru, setiap warga PDRM harus ada sifat empati atau berupaya memahami perasaan rakyat dalam menjalankan urusan harian. Orang awam berjumpa polis mengenai masalah daripada yang sekecil-kecilnya hinggalah yang ekstrem,” katanya.

Oleh itu, Acryl Sani memaklumkan sebagai langkah peringkat pertama, Bukit Aman telah mengarahkan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta Pasukan Formasi di seluruh negara untuk mengadakan sesi pertemuan dengan masyarakat pada Sabtu setiap minggu bagi mendapatkan maklum balas atas permasalahan dihadapi.

Source Link