info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

Mi Kari Dari Restoran Mengandungi Daging Ayam, Bukan Babi

38views

PUTRAJAYA, 24 Nov — Sampel daging yang diambil dari restoran didakwa menjual mi kari mengandungi daging babi, baru-baru ini, dikesan hanya ada unsur asid deoksiribonukleik (DNA) ayam.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam satu kenyataan, hari ini, mengesahkan bahawa hasil analisis dan ujian makmal dijalankan Jabatan Kimia Malaysia terhadap sampel daging itu mendapati ia tiada unsur DNA babi.

Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman, berkata pemeriksaan terbabit dilakukan susulan tular rakaman video dalam laman sosial berhubung dakwaan itu oleh warganet.

Beliau berkata, melalui pemeriksaan itu, Ibu Pejabat KPDNHEP Putrajaya dan beberapa cawangan KPDNHEP Selangor telah menghantar beberapa sampel daging yang diambil dari restoran terbabit ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

“Hasil daripada analisis dan ujian makmal Jabatan Kimia Malaysia yang dijalankan ke atas sampel daging diterima, mendapati hanya unsur DNA ayam dikesan dalam daging itu serta tiada unsur DNA babi.

“Melalui keputusan analisis terbabit, pihak restoran yang disiasat tidak melakukan kesalahan atau melanggar undang-undang bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 atau Perintah Perihal Dagangan (Perakuan Dan Penandaan Halal) 2011,” katanya.

Beliau berkata, KPDNHEP akan meneruskan pemantauan secara proaktif dan konsisten berhubung penguatkuasaan halal bagi memastikan pengusaha makanan dan minuman sentiasa mematuhi perundangan ditetapkan.

Selain itu, tidak sewenang-wenang menyalahgunakan kelulusan diberikan dengan maksud berselindung dan mengaburi pengguna melalui kelulusan terbabit.

“KPDNHEP juga ingin menyeru pengguna agar sentiasa bertanggungjawab dalam tindakan menyebarkan berita atau isu tidak sahih melalui laman media sosial yang boleh mendatangkan kesan negatif dan tidak adil kepada pihak yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai ingin menyalurkan maklumat atau membuat semakan berkaitan isu halal oleh pihak pengusaha makanan dan minuman, disaran menghubungi talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088 di Enforcement Command Centre (ECC), web KPDNHEP atau aplikasi WhatsApp melalui talian 019-279 4317 supaya tindakan sewajarnya boleh diambil.

“Setiap aduan mesti lengkap mengandungi nama, nombor telefon, premis, lokasi, gambar aduan yang dimaksudkan dan resit jika aduan berkenaan harga serta pembelian,” katanya.

Source Link