Isnin, Mei 16, 2022
HomeBeritaMIDF: Industri semikonduktor bersedia kepada pertumbuhan memberangsangkan

MIDF: Industri semikonduktor bersedia kepada pertumbuhan memberangsangkan

KUALA LUMPUR, 9 Mei (Bernama) — MIDF Research (MIDF) mengekalkan saranan positifnya terhadap industri semikonduktur sambil menyatakan sektor itu masih bersedia untuk pertumbuhan memberangsangkan — melebihi semua sektor lain termasuk kewangan dan perindustrian berikutan penggunaan dan pengintegrasian teknologi yang meluas.

MIDF dalam nota penyelidikan hari ini berkata, teknologi sedang pesat membangun seperti kecerdasan buatan, elektronik automotif serta realiti terimbuh dan maya banyak bergantung kepada industri semikonduktor untuk menawarkan kuasa pengkomputeran yang diperlukan.

“Jualan semikonduktor di seluruh dunia tetap kukuh pada suku pertama tahun ini walaupun berlaku krisis cip yang berterusan dengan jualan US$151.7 bilion atau pertumbuhan tahun ke tahun berjumlah 23.0 peratus,” katanya.

Jualan global pada Mac 2022 berada pada US$50.6 bilion dan Amerika Syarikat terus melangkaui pasaran serantau lain dengan pertumbuhan 40.1 peratus tahun ke tahun.

Dalam pada itu, MIDF berkata sejak 2000, jumlah perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) semikonduktor sebagai peratusan jualan di seluruh dunia, kesemuanya mengatasi purata 14.5 peratus dalam tempoh empat dekad, melainkan selama lima tahun (2000, 2010, 2017, 2018 dan 2020).

“Dalam tempoh lima tahun tersebut, nisbah R&D kepada jualan yang lebih rendah lebih dikaitkan dengan kekuatan pertumbuhan jumlah hasil berbanding perbelanjaan R&D yang lemah oleh pembekal semikonduktor,” katanya.

Sementara itu, MIDF turut mengekalkan penarafan ‘beli’ kepada syarikat-syarikat semikonduktor iaitu Inari Amerton (harga sasaran RM4.55) dan Unisem (M) Bhd (harga sasaran RM4.33).

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular