Berita

Miimaland Menang Festival Filem Kanada

70views

KUALA LUMPUR, 1 Apr — Filem Miimaland diangkat Filem Seram Terbaik pada AltFF Alternative Film Festival Spring 2021, Toronto, Kanada, Isnin lalu.

Miimaland menewaskan empat filem seram lain iaitu Dead Destination dan Faith dari United Kingdom (UK), Edwin (Kanada) dan Thousand of Years (Amerika Syarikat) bagi kategori filem cereka.

Selain itu, filem arahan Nevin Hiong yang menampilkan Fattah Amin dan Sophia Albarakbah sebagai teraju utama itu menggondol trofi Pengarah Terbaik selain menjadi finalis bagi kategori Sinematografi Terbaik.

Nevin, 50, terharu atas kemenangan sulungnya di luar negara. Beliau yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia perfileman bermula sebagai pengarah sinematografi, menghantar penyertaan kepada beberapa festival, tahun lalu.

“Miimaland menerima kritikan pedas daripada penulis blog serta personaliti YouTube yang membuat ulasan filem. Jadi, ketika menghantar penyertaan, saya tidak meletak harapan filem ini mampu pergi sejauh itu.

“Jadi, apabila penganjur memaklumkan mengenai kemenangan Miimaland melalui kiriman e-mel dan pautan laman web festival itu, saya sangat terkejut.

“Tujuan saya menghantar penyertaan hanyalah sekadar mencuba nasib,” katanya yang hanya menghantar penyertaan di festival filem yang diiktiraf oleh Internet Movie Database (IMDB).

Selain AltFF, Miimaland yang menemui penonton pada 24 September lalu, turut dicalonkan dalam beberapa festival lain iaitu Portland Horror Film Festival, Brussels Independent Film Festival dan Europe Film Festival.

Nevin berkata, dia tidak ambil hati dengan kritikan pedas dilemparkan penulis blog dan personaliti YouTube terhadap karya kedua arahannya itu.

Baginya, mereka sengaja mencetuskan kontroversi semata-mata untuk menaikkan angka penonton di blog atau laman YouTube masing-masing demi meraih pendapatan.

Nevin berkata, perkara itu tidak sedikit pun melemahkan semangatnya untuk mengarah. Walaupun mengakui ulasan negatif yang diberi menjejaskan kutipan filem berkenaan, namun Kevin tidak mahu lekas berputus asa.

“Mungkin filem arahan saya tidak sesuai untuk penonton tempatan atau golongan tertentu. Miimaland tidak seperti filem seram tempatan yang ‘straight forward’. Mereka yang pernah menontonnya mungkin dapat melihat perbezaan filem ini yang ada keunikannya tersendiri dengan cita rasa antarabangsa.

“Apabila mereka yang menonton tidak boleh mengaitkan cerita itu dengan diri mereka, mereka lekas menjatuhkan hukum yang filem itu tidak menarik.

“Namun, terpulang kepada selera masing-masing. Saya tidak pernah ambil hati malah saya anggap kemenangan ini sedikit sebanyak membuka mata masyarakat,” katanya.

Nevin berkata, Miimaland berdepan laluan sukar kerana dilancarkan ketika penularan COVID-19.

Tambahnya, penutupan panggung wayang memberi kesan kepada filem terbitan Mico Studios (M) Sdn Bhd itu.

“Tayangan di platform Astro First juga tidak begitu mendapat sambutan. Kami mungkin akan memikirkan platform Over The Top (OTT) yang lain kerana Miimaland baru saja memenangi anugerah,” katanya.

Berkongsi projek terbaru, Nevin bakal menerbitkan sebuah lagi filem seram fantasi berjudul The Skin. Enggan berkongsi perincian projek itu, Nevin bagaimanapun berkata, filem itu akan diterajui pengarah dan pelakon ternama.

Source Link