Berita

MKT UMNO Persoal Motif Pendedahan Shahidan Kassim

119views

KUALA LUMPUR, 26 Apr — Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO mempersoal motif pendedahan gerakan mendapatkan tanda tangan Ahli Parlimen UMNO, bagi menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli MKT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata perkara itu tidak perlu digembar-gemburkan kerana ia sudah berlalu dan sudah gagal.

“Dalam keadaan sekarang apa motif untuk dibangkitkan perkara itu. UMNO melalui Perhimpunan Agung parti sudah membuat ketetapan dan pendirian. Kita setuju untuk bertanding menggunakan logo Barisan Nasional (BN),”.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mengenai gerakan mendapatkan tanda tangan Ahli Parlimen UMNO bagi menyokong Anwar.

Dalam sidang media khas malam tadi, Shahidan mendakwa gerakan mendapatkan sokongan Ahli Parlimen UMNO itu dilakukan ketika sidang Parlimen Oktober tahun lalu, namun usaha itu menemui kegagalan.

Tajuddin mempersoal tindakan Shahidan itu yang dilabelkan sebagai langkah yang hanya mencemarkan imej parti.

Katanya, fokus parti kini persediaan menghadapi pilihan raya umum, bukan mengenai jajaran baharu politik.

“Kita sudah buat pendirian, UMNO akan bertanding bersama dengan PAS di bawah panji Muafakat Nasional (MN). Kita tidak berganjak dengan keputusan itu dan tidak perlu risau kalah kerana kita sudah tunjukkan kekuatan blok politik ini, dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK).

Ditanya, desakan diadakan pemilihan parti dengan segera, katanya, beliau tidak nampak keperluan berbuat demikian.

“Jika buat pemilihan awal untuk tujuan bersih parti, saya tidak setuju. Belum tentu yang mencadangkan perkara itu, bersih.

“Perlembagaan parti benarkan kita tangguh pemilihan 18 bulan. Jadi apa salahnya kita tangguhkan dan tumpu kepada pilihan raya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT, Datuk Jalaluddin Alias berkata, beliau tidak mengetahui gerakan mendapatkan tanda tangan itu, malah tidak terbabit, tidak dipanggil atau dipujuk memberikan tandatangan.

“Saya tidak tahu. Saya tidak terbabit dan saya hanya sokongan Perikatan Nasional (PN) seperti yang diminta,” katanya.

Beliau menegaskan apa yang dibangkitkan Shahidan tiada keperluan untuk dibincangkan MKT kerana itu isu berkaitan Ahli Parlimen.

Katanya, mesyuarat MKT seharusnya menumpukan isu parti dan gerak kerja hadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Isu pemilihan parti, saya kira presiden sudah memberikan mesej yang jelas dan hari ini MKT akan putuskan tarikh pemilihan parti. Kita tunggu saja keputusannya nanti,” katanya.

Mengulas isu sama, penganalisis politik berpandangan pendedahan terbaharu Shahidan itu jelas wujud kerjasama di antara dua parti.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarulzaman Yusoff berkata, UMNO perlu memperjelas kepada ahli dan penyokong parti itu berhubung kerjasama parti itu dengan PKR sebagaimana yang tular melalui rakaman audio.

“Isu ini perlu jadi agenda mesyuarat UMNO hari ini. MKT kena bincang perkara ini kerana ia membabitkan imej presiden parti.

“Maruah UMNO terjejas teruk pendedahan rakaman audio apabila sebuah parti yang besar mendengar arahan parti yang kecil. Hala tuju parti itu juga kini nampak bersimpang siur. Perlu ada penjelasan rapi dan tuntas dalam isu ini.

“Perlu ada ahli MKT yang berani bangkitkan isu ini dan diselesaikan sebelum terlambat dan menghakis keyakinan ahli UMNO dan orang luar dan penyokong kepada parti,” katanya.

Source Link