Perniagaan

Momentum Jualan UMW Dijangka Meningkat

158views

KUALA LUMPUR, 13 Okt — UMW Toyota Motor (UMWT), anak syarikat UMW Holdings Berhad mencatatkan penjualan lebih tinggi pada suku ketiga tahun 2020 berikutan pencapaian jualan yang lebih memberangsangkan untuk kenderaan Toyota dan syarikat bersekutunya, Perodua.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMW Holdings Berhad, Azmin Che Yusoff berkata, bahagian pasaran automotif kumpulan mencapai rekod tertinggi sebanyak 53.7 peratus pada Ogos, lebih tinggi berbanding 51.4 peratus yang dicatatkan pada 2019.

“Pengecualian cukai jualan oleh kerajaan berkuat kuasa dari 15 Jun hingga 31 Disember 2020 mendorong peningkatan jualan pada suku ketiga 2020.

“UMWT merekodkan jualan 5,605 unit pada September 2020 dengan Toyota Vios, Yaris dan Hilux menjadi penyumbang utama untuk bulan berkenaan.

“Pada suku ketiga 2020, UMWT merekodkan peningkatan jualan 13.5 peratus atau 2,242 unit, menjadikan jumlah keseluruhan penjualan sebanyak 18,870 unit berbanding dengan 16,628 unit penjualan berdaftar pada suku sama tahun lalu.

“Untuk sembilan bulan pertama tahun ini, UMWT mencatatkan jualan 37,339 unit, 70.5 peratus daripada jumlah sasaran jualan baharu tahun ini, iaitu 53,000 unit,” katanya.

Menurutnya, Perodua mencatatkan jualan tertingginya dalam sejarah sepanjang 26 tahun sebanyak 25,035 unit pada September, meningkat 10.8 peratus daripada 22,604 unit yang dijual pada Ogos lalu.

“Perodua mencatatkan jualan 70,842 unit pada suku ketiga ini, meningkat 24.3 peratus atau 13,870 unit berbanding 56,972 unit yang didaftarkan pada suku sama 2019.

“Bagi sembilan bulan pertama 2020, Perodua mencatatkan penjualan 145,012 unit, 69.1 peratus daripada sasaran jualan tahun ini sebanyak 210,000 unit.

“Malah, Perodua meningkatkan pengeluaran di kedua-dua kilang pemasangan di Sungai Choh, Rawang bagi menampung peningkatan permintaan,” katanya.

Azmin berkata, jualan yang dicapai oleh UMWT dan Perodua pada suku ketiga tahun ini adalah memberangsangkan di sebalik persekitaran pasaran yang mencabar, disebabkan oleh pandemik Covid-19.

“Kami juga berterima kasih kepada kerajaan kerana memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan menerapkan pengecualian cukai penjualan untuk meningkatkan industri automotif di Malaysia.

“Kami yakin momentum jualan akan berterusan hingga suku akhir tahun ini,” katanya.

Source link