info@rakyat.my
Sunday, June 20, 2021
Berita

MT Perikatan Nasional Setuju Bentuk Majlis Presiden

89views

KUALA LUMPUR, 2 Dis — Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk membentuk Majlis Presiden dianggotai ketua parti dalam kerajaan.

Cadangan pembentukan Majlis Presiden itu, diutarakan Perdana Menteri yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Tahunan parti itu, Sabtu lalu.

Majlis Presiden itu akan berfungsi sebagai platform untuk membincangkan dasar kerajaan dan mengukuhkan kerjasama antara parti.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata cadangan itu dipersetujui menerusi mesyuarat dipengerusikan Muhyiddin, semalam.

“Mesyuarat MT juga memutuskan PN akan segera melaksanakan program ‘flagship’ di seluruh negara untuk membantu semua lapisan masyarakat.

“Selain itu, mesyuarat turut berlangsung untuk membincangkan persediaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mesyuarat itu dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan; Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Seri Yong Teck Lee dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Timbalan Pengerusi PN serta semua ahli Majlis Tertinggi lain.

Sabtu lalu, Muhyiddin berkata, sudah tiba bagi sebuah Majlis Presiden dianggotai ketua parti membentuk kerajaan PN dibentuk.

Beliau menjelaskan, majlis itu akan membolehkan semua ketua parti menyampaikan pandangan parti masing-masing terutama mengenai dasar kerajaan untuk perhatian Kabinet.

Source Link