Sabtu, Jun 25, 2022
HomeBeritaMTC anjur bersama pameran perdagangan kayu antarabangsa pada November ini

MTC anjur bersama pameran perdagangan kayu antarabangsa pada November ini

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — Majlis Kayu Kayan Malaysia (MTC) mengumumkan pameran perdagangan kayu dan kerja kayu antarabangsa, Ekspo Kayu Malaysia (MWE) akan diadakan semula tahun ini selepas dua tahun ia tidak dianjurkan.

MWE 2022 yang akan diadakan pada 20 hingga 22 Nov di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini merupakan anjuran MTC bersama Panels & Furniture Group serta disokong Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).

Pengerusi MTC, Norrida Yusoff berkata pameran perdagangan untuk melonjakkan industri dalam tempoh peralihan ke endemik itu dijangka memberi inspirasi penyelesaian baharu dan peluang lebih besar untuk memperoleh yang terkini dalam industri berasaskan kayu.

Beliau berkata MTC menjangkakan kehadiran sejumlah besar pembeli antarabangsa yang serius akan meningkatkan peluang perniagaan untuk para pempamer.

“Setiap aspek pameran telah ditingkatkan, daripada ruang lantai pameran sehinggalah inisiatif yang dilaksanakan untuk menjadikan pameran ini satu kejayaan yang luar biasa dan menguntungkan bagi peserta pameran perdagangan kami,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata industri kayu-kayan Malaysia mencatatkan keuntungan eksport yang tinggi bagi suku pertama 2022 memandangkan permintaan global terhadap produk kayu meningkat.

“Eksport kayu dan produk kayu dari Januari hingga Mac tahun ini menyaksikan peningkatan sebanyak 8.2 peratus kepada RM6.54 bilion daripada angka pada tempoh yang sama 2021. Justera amat menggembirakan apabila melihat industri menunjukkan kedinamikan seperti itu dalam eksport,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MTC, Muhtar Suhaili berkata pihaknya menjangkakan lebih ramai pengimport menyertai program suai padan perniagaan khususnya Misi Pembelian Masuk.

Beliau berkata pada 2019, Misi Pembelian Masuk yang dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menjana jualan sebanyak RM118.93 juta.

“Sasaran yang diletakkan bagi MWE 2019 adalah RM25 juta namun kami merekodkan jualan bernilai RM140 juta. Kami berharap dapat melakukan lebih baik tahun ini kerana ramai pelabur dan pemilik perniagaan mengenepikan pandemik dan bersedia menjalinkan lebih banyak janji niaga perniagaan secara bersemuka di pameran perdagangan,” katanya.

MWE 2022 akan mengetengahkan bahan mentah dan produk kayu seperti lantai kayu, acuan, rangka pintu dan tingkap, produk panel, palet kayu serta mesin kerja kayu dan alat pemotong, pelelas, peralatan berkaitan kayu dan banyak lagi.

BERNAMA

Facebook Comments Box
Berkaitan

Popular