Berita

MYEG bantu kutip pembayaran COVID-19 untuk kerajaan

113views

KUALA LUMPUR, 5 Nov  — MY E.G. Services Bhd (MYEG) telah memeterai perjanjian agensi dengan kerajaan Malaysia untuk memudahkan pengumpulan bayaran di bawah apa-apa caj yang berhubung dengan ujian pengesanan COVID-19 termasuk bayaran kuarantin yang dikeluarkan oleh kerajaan kepada orang ramai.

Menurut syarikat itu,  perjanjian ini dimeterai susulan surat setuju terima daripada Kementerian Kesihatan pada 8 Okt lepas bagi melaksanakan penyediaan sistem pembayaran dalam talian membabitkan pendaftaran kemasukan pelancong ke Malaysia untuk ujian saringan COVID-19 dan caj kuarantin yang akan dilaksanakan di semua pintu masuk ke negara ini.

”Perjanjian itu sah untuk tempoh dua tahun mulai 1 Nov 2020 hingga 31 Okt 2022. Syarikat itu boleh membuat permohonan bertulis kepada kerajaan bagi melanjutkan tempoh perjanjian tidak kurang daripada tiga bulan sebelum tarikh tamat perjanjian,” katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

Di bawah perjanjian itu, MYEG akan membenarkan orang ramai membuat pembayaran kepada kerajaan dan syarikat tidak akan mengenakan caj perkhidmatan atau/dan caj-caj lain kepada kerajaan sepanjang tempoh perjanjian.

”Lembaga pengarah tidak menjangkakan sebarang risiko berhubung dengan perkhidmatan ini kerana perkhidmatan tersebut tidak mempunyai nilai tetap memandangkan ia bergantung kepada bilangan transaksi dan pilihan perkhidmatan yang dipilih oleh pengguna,” katanya.

Dalam makluman berasingan, MYEG berkata bahagiannya di Filipina telah bekerjasama dengan Family Vaccine Specialty Clinics Inc (Health Direct Now) untuk membangunkan aplikasi mudah alih bagi tempahan dan pembayaran ujian COVID-19, bersama-sama dengan pengeluaran kod QR digital sebagai bukti ujian.

Health Direct Now adalah inisiatif Family Vaccine Specialty Clinics yang mengendalikan rantaian klinik vaksinasi yang terbesar di Filipina dengan 41 pusat penyediaan ujian COVID-19

”Di bawah perkongsian itu, MYEG Filipina akan membangunkan aplikasi mudah alih untuk Health Direct Now dan juga menjadi rakan kongsi gerbang pembayaran eksklusifnya.

“MYEG Filipina juga akan turut bersama-sama menubuhkan dan berkongsi keuntungan gerai ujian COVID-19 secara 50:50,” tambahnya.

Source link