Berita

MYNIC, SDEC Bakal Laksana Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital

64views

KUALA LUMPUR, 8 Okt — MYNIC Bhd dengan kerjasama Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC) bakal melaksanakan Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital, sebuah inisiatif yang membantu golongan usahawan kecil dan sederhana di Sarawak untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran dalam talian.

Kerjasama yang dimeterai melalui sebuah memorandum perjanjian (MoA) di Cyberjaya, hari ini, merupakan inisiatif yang pertama bersama dengan kerajaan negeri di Malaysia, kata MYNIC dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Melalui kerjasama ini, Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital MYNIC mensasarkan 1,000 usahawan-usahawan kecil dan sederhana di negeri Sarawak yang memberi tumpuan kepada golongan pinggir dan luar bandar khususnya golongan B40.

“MYNIC berbesar hati menjalinkan kerjasama dengan SDEC dan akan memberikan komitmen yang tinggi dalam perkongsian ilmu perniagaan dalam talian serta menyediakan sokongan teknologi lengkap kepada para peserta program latihan ini agar mereka sentiasa bersedia mengharungi cabaran global dalam ekonomi digital,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC, Datuk Hasnul Fadhly Hasan.

Beliau berkata selain daripada menyediakan modul latihan seperti membangunkan laman web, pemasaran melalui media sosial dan penambahbaikan kandungan dalam memasarkan perniagaan, MYNIC turut menjalankan pemantauan berkala bagi mendapatkan perkembangan serta kefahaman para peserta yang terlibat.

Dalam pada itu, SDEC  turut memeterai perjanjian persefahaman hari ini bersama rakan-rakan strategik yang lain, antaranya ialah HUAWEI Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, XPeranti Solutions (M) Sdn Bhd, Merdeka Waterfront Hotel Sdn Bhd dan Arx Media Sdn Bhd.

MYNIC berkata ia akan menjalinkan lebih banyak lagi kerjasama dengan Kerajaan-kerajaan Negeri yang lain dalam membawa golongan usahawan mengadaptasi peluang-peluang digital.

Ia seiring dengan kejayaan MYNIC melatih lebih 1,000 usahawan melalui Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital pada tahun 2019 dan tahun ini.

MYNIC akan turut akan bekerjasama dengan pihak universiti tempatan seperti Open University Malaysia (OUM) dan institut-institut pengajian tinggi yang lain bagi memastikan penyertaan golongan muda dalam bidang keusahawanan dalam talian pada masa akan datang.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, MYNIC memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi digital dengan memastikan penggunaan nama domain .MY menjadi pemboleh ubah terpenting di dalam ekosistem ekonomi digital.

— BERNAMA

Source link

Leave a Response