info@rakyat.my
Friday, June 18, 2021
Berita

MyPRENEUR Tawar Latihan, Pembiayaan Perniagaan Kepada Usahawan Belia

89views

PUTRAJAYA, 11 Feb — Malaysia Youth Entrepreneur (MyPRENEUR), inisiatif kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), menawarkan latihan dengan elaun dan pembiayaan perniagaan minimum RM100,000 kepada usahawan belia untuk mengembangkan perniagaan.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara Datuk Dr Wasitah Mohd Yusof berkata ia dilaksanakan melalui program Jom Jadi Perantis (JUMPER) di bawah MyPRENEUR yang terbahagi kepada dua kategori iaitu JUMPER Start Up dan JUMPER 2.0.

Wasitah berkata JUMPER Start Up diadakan sebanyak dua kali setahun, kemasukan pertama adalah pada 15 Mac depan dengan mensasarkan 350 usahawan lepasan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS).

“ILKBS akan menyediakan fasiliti dan kemudahan untuk sesi induksi dan latihan, manakala PUNB menyediakan elaun sebanyak RM1,200 sebulan sepanjang tempoh latihan selama lapan bulan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata antara kriteria peserta bagi JUMPER Start Up ialah berumur 18 hingga 30 tahun, sudah menjalankan perniagaan dan mempunyai produk atau perkhidmatan, perniagaan berasaskan bidang kemahiran terpilih, mempunyai minat dalam bidang keusahawanan serta ingin mengembangkan perniagaan.

JUMPER 2.0 pula mensasarkan 100 bekas peserta Program Latihan Keusahawanan di Akademi Pembangunan Belia Malaysia (APBM), Batu Gajah, Perak yang berumur 18 hingga 35 tahun, mempunyai perniagaan yang beroperasi sekurang-kurangnya enam bulan yang berasaskan peruncitan, pengedaran dan pemborongan yang berdaya maju dan berlandaskan syariah, kataya.

“Mereka akan dibimbang sehingga mencapai satu tahap yang boleh meyakinkan PUNB untuk dipertimbangkan pemberian dana dan pembiayaan perniagaan minimum sebanyak RM100,000, tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan selepas peserta tamat latihan,” kata Wasitah.

MyPRENEUR dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi PUNB Tan Sri Noh Omar secara maya di laman Facebook KBS pada sebelah pagi hari ini.

Secara keseluruhannya, Wasitah berkata MyPRENEUR mensasarkan untuk melatih kira-kira 1,500 belia yang berpotensi dalam bidang keusahawan untuk dikembangkan menerusi program-program yang dilaksanakan PUNB.

Selain JUMPER, beliau berkata program lain yang turut dilaksanakan di bawah MyPRENEUR ialah Uni-Challenge PUNB-KBS, BizKonsultasi dan Industri Talk/Coaching.

Uni-Challenge merupakan pertandingan untuk mengasah bakat keusahawan dalam kalangan belia ILKBS, manakala BizKonsultasi dan Industri Talk/Coaching memberikan khidmat nasihat dan tunjuk ajar kepada usahawan belia yang memerlukan panduan untuk menentukan hala tuju perniagaan, katanya.

Wasitah berkata usahawan belia yang berminat untuk menyertai mana-mana program di bawah MyPRENEUR boleh melayari laman sesawang ebelia.iyres.gov.my atau www.punb.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

— BERNAMA

Source link