Perniagaan

Myvi Kekal Kenderaan Terpakai Paling Laris – FMCCAM

130views

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Permintaan memberangsangkan untuk kenderaan terpakai berterusan ke suku ketiga tahun ini dengan peniaga terus mencatatkan pemulihan penjualan yang mantap, dipacu oleh insentif moratorium dan cukai kerajaan.

Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Kereta dan Kredit Malaysia (FMCCAM) Datuk Tony Khor berkata, penjualan tahun ke tahun untuk bulan Julai melonjak melebihi 25 peratus kepada 37,800 unit, sementara untuk bulan Ogos dan September, masing-masing mencatatkan pertumbuhan melebihi 17 peratus tahun ke tahun.

“Insentif daripada kerajaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terutamanya pengecualian cukai dan moratorium mendorong lebih banyak aktiviti penjualan sejak Jun.

“Kami memperoleh jualan sebanyak 112,400 unit sejak tiga bulan lalu. Penjualan suku ketiga sudah menyaksikan angka sejak awal tahun sehingga kini (YTD) kepada sekitar 280,000 unit dan kami boleh menandingi jualan purata tahunan industri kerana permintaan terus menggalakkan,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau menambah jumlah dagangan tahunan purata untuk kereta terpakai dalam beberapa tahun lalu sekitar 400,000 unit bernilai lebih daripada RM15 bilion, berdasarkan kepada nilai purata RM40,000 seunit.

Khor, yang sudah berkecimpung dalam industri itu lebih daripada 30 tahun, pada masa ini menguruskan 4,325 wakil penjual di bawah payung FMCCAM.

Beliau berkata, kenderaan terpakai sudah menjadi komoditi terlaris industri kerana pengguna lebih suka memandu kereta sendiri semasa pandemik Covid-19 dan membeli kereta terpakai untuk menjimatkan wang dalam situasi ekonomi tidak menentu ini.

“Permintaan yang banyak untuk kereta terpakai semasa PKP ialah kereta-kereta yang nilai puratanya antara RM30,000 dan RM40,000.

“Kereta terpakai yang paling laris terjual di pasaran ialah Perodua Myvi. Model itulah yang paling dicari. Myvi adalah yang nombor satu,” kata beliau sambil menambah varian popular lain termasuk Vios (Toyota), City (Honda), Saga dan Persona (Proton).

“Perniagaan sememangnya rancak, terutama kereta terpakai perbatuan rendah yang paling laris. Contohnya Myvi, model ini cuma bertahan beberapa jam sahaja dan tidak berada lama di lot wakil penjual sehingga jarang muncul di iklan.

“Biasanya, Myvi (datang) masuk dan (pergi) keluar sangat cepat. Untuk model yang sangat laku, kami tidak perlu berusaha keras untuk mengiklankannya. Permintaan untuk Myvi turut memastikan bahawa nilai penjualan semula model itu masih tinggi.

Menurut data platform kereta terpakai dalam talian iCarData, susut nilai untuk Perodua Myvi 1.5 AV yang berusia lima tahun ialah 33.44 peratus, atau hanya lebih satu pertiga daripada harga asal.

Dalam nilai mutlak, Perodua Myvi baharu yang dibeli pada harga RM56,518 tanpa insurans pada tahun 2015 boleh dijual pada harga purata RM37,619.99 pada 2019.

Sebagai perbandingan, Proton Iriz 1.6 Premium CVT yang bernilai RM59,731 pada 2015 boleh dijual pada purata harga RM30,277.32 pada 2019 – penyusutan sebanyak 49.31 peratus atau hampir separuh, kata laporan itu.

Bagaimanapun, Khor mengingatkan yang trend jualan kereta terpakai yang menggalakkan ini tidak akan kekal lama dan musim sepanduk kemungkinan akan berakhir berikutan tamatnya moratorium pinjaman enam bulan itu.

“Walaupun pengecualian cukai jualan dijangka dapat mengekalkan permintaan, sentimen pembelian pada suku keempat diunjurkan lebih berhati-hati memandangkan insentif moratorium telah berakhir.

“Mood membeli sudah mula perlahan pada bulan Oktober. Kami berharap kerajaan boleh mengumumkan lanjutan tiga bulan lagi moratorium pembayaran balik pinjaman sehingga 31 Disember untuk terus menyokong industri dalam masa pandemik ini,” tambah Khor.

Source link